Sunday, March 7, 2010

Pusat latihan pekerja restoran dibuka

KUALA LUMPUR 7 Mac 2010 - Kerajaan menyediakan sebanyak RM500,000 untuk membuka pusat latihan bagi warga tempatan yang ingin menjadi tukang masak dan pelayan restoran.

Langkah itu bertujuan mengurangkan pergantungan kepada pekerja-pekerja asing khususnya di restoran-restoran mamak.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan berkata, peruntukan itu merupakan satu peluang kepada warga tempatan untuk bekerja dalam industri perkhidmatan makanan.

"Bersesuaian dengan kempen supaya restoran mengambil pekerja tempatan, peruntukan itu akan dapat membantu pengusaha restoran mengurangkan pekerja asing.

"Sekolah latihan itu akan melatih warga tempatan menjadi tukang masak, pelayan dan juruwang supaya mereka mempunyai kemahiran untuk melakukan tugas dan mengikis perasaan malu kerana menjadi pekerja restoran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kempen Mengambil Pekerja Tempatan di sini semalam.

Kempen anjuran Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) itu adalah untuk menyahut seruan kerajaan supaya tidak menggunakan pekerja asing dalam industri perkhidmatan dan makanan.

Saravanan berkata, bukan pengusaha restoran tidak mahu mengambil pekerja tempatan tetapi ramai warga tempatan yang malu untuk berdepan dengan orang ramai, tidak mahu bekerja lebih masa serta tidak bersungguh-sungguh ketika bekerja.

"Primas menyarankan agar kerajaan memberi tempoh lima tahun untuk pengusaha restoran tidak lagi menggunakan pekerja asing.

"Ini kerana bukan mudah untuk mengambil pekerja tempatan dalam waktu yang singkat," jelasnya.

Sementara itu, pengusaha restoran Sri Nirwana Maju Sdn. Bhd, Amutha berkata, kempen itu boleh membantu mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

Namun, dia mengakui bukan mudah untuk mengambil orang tempatan untuk bekerja di restoran.

"Orang tempatan tidak mahu bekerja sebagai pelayan dan tukang masak kerana mereka rasa malu dan tidak mahu kerja lebih masa sedangkan gaji yang ditawarkan boleh mencecah sehingga RM1,500 sebulan.

"Sikap orang tempatan ini harus dikikis dan ia mengelakkan pengangguran di kalangan golongan belia di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment