Monday, March 1, 2010

30 kem tentera dibangun semula

KUALA LUMPUR, 1/3/10: Semua 30 kem Tentera Darat di seluruh negara yang dibangunkan semula di bawah program "Army Camp" (Kem Tentera) dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin, berkata di bawah program yang diperkenalkan pada 2005 itu, kem lama dan usang akan diroboh dan dibina baru dengan menggunakan kaedah Industrial Building Standard (IBS).

Beliau berkata, pada masa ini, dua kem iaitu Kem Batalion 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kuantan dan Kem Batalion 25 RAMD di Bentong sedang dibina semula, manakala tiga kem lagi akan dibina semula tahun ini.

"Kebanyakan kem Tentera Darat berusia lebih 60 tahun dan ada di antara kem itu dibina hanya untuk sementara atau semasa Tentera British berada di Malaysia seperti Kem Majidi, Kem Kluang di Johor dan Kem Sungai Petani, Kedah.

"Dengan adanya program ini, Tentera Darat dapat membina kem baru tanpa mencari lokasi lain dan dapat mengurangkan kos yang akan ditanggung kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas Perbarisan Ulang Tahun Tentera Darat ke-77 di Kem Sungai Besi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembinaan sebuah kem infantri batalion standard yang mempunyai bangunan teknikal seperti pejabat, stor peluru dan senjata, kediaman anggota dan sebagainya akan menelan kos kira-kira RM90 juta ke RM110 juta, manakala bagi pembinaan rumah keluarga pula membabitkan tambahan kos di antara RM60 juta ke RM70 juta.

"Tetapi dengan menggunakan kaedah IBS, kos pembinaan sesebuah kem batalion infantri standard ialah sekitar RM40 hingga RM55 juta sahaja manakala tempoh pembinaan akan mengambil masa sekitar enam hingga lapan bulan, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment