Monday, March 1, 2010

Juhar rintis kafe bola sepak

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

Sebahagian pengunjung menikmati makanan sambil menonton perlawanan bola sepak di skrin besar yang disediakan di kafe Soccer Station. – UTUSAN/Rizalman Nor

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU 1 Mac 2010 – Restoran atau kafe mana? Itu lazimnya pertanyaan peminat bola sepak kepada rakan mereka apabila diajak menonton siaran langsung perlawanan pasukan pilihan sama ada dalam atau luar negara.

Menonton siaran langsung bersama rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama di tempat terbuka sambil menjamu selera memberikan keasyikan berganda berbanding menyaksikannya di rumah.

Namun tidak semua premis menyajikan suasana yang selesa malah ada di kalangan pemilik restoran tidak menyenangi ‘pelanggan’ golongan ini atas beberapa sebab.

Antaranya, golongan ini akan menghabiskan masa yang lama sedangkan mereka ada kalanya hanya memesan segelas air.

Namun kini ada kafe khusus di Jalan Sultan Yahya Petra di sini bagi mereka yang ingin menyaksikan secara santai dengan waktu operasinya bermula dari tengah hari hingga pukul 3 pagi.

Malah ia akan terus beroperasi jika terdapat perlawanan yang berakhir menjelang subuh.

Kafe berkenaan, Soccer Station diusahakan oleh bekas pengurus bank di Petaling Jaya, Juhar Omar, 51, yang kembali ke negeri asalnya untuk memulakan perniagaan itu tahun lalu.

Beliau membelanjakan kira-kira RM150,000 bagi mengubah suai premis berkenaan agar lebih selesa dan dapat memberi ‘mood’ dunia bola sepak kepada para pengunjung.

Premis itu dicat merah sepenuhnya, menyerlahkan kewujudannya, bagaikan simbol semangat terhadap sukan itu.

Warna itu sebenarnya menjadi warna lambang negeri dan skuad Wira Merah manakala di dinding kafe itu dihiasi dengan poster-poster pasukan bola sepak ternama dunia dan bintang-bintang mereka.

Juga turut dipaparkan pelbagai cenderamata yang berkaitan dengan bola sepak termasuk yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Menurut Juhar, idea untuk membuka perniagaan berkonsepkan bola sepak diilhamkan oleh anak lelakinya yang melihat sukan itu sebagai medium untuk menyatukan peminat dan menarik pengunjung.

Katanya, perniagaan ala kafe atau bistro khusus untuk bola sepak belum pernah diwujudkan di negeri ini dan beliau sudah ada perancangan untuk mengembangkan melalui sistem francais berdasarkan sambutan yang menggalakkan.

“Dengan adanya konsep ini, para peminat bola sepak di sekitar Kota Bharu, boleh berkumpul dan berkongsi pandangan mengenai pasukan yang diminati,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Soccer Station akan lebih meriah dan hidup dengan sorakan dan tepukan semasa musim Liga Perdana Inggeris, Liga Sepanyol, Liga Juara-Juara dan liga tempatan berlangsung.

‘‘Pada musim Piala Dunia Jun nanti, kami akan menyediakan tarikan baru termasuk mengadakan cabutan bertuah kepada pelanggan,” ujarnya.

Premisnya turut menjadi persinggahan pemain bola sepak pasukan Kelantan dan peminat boleh menemui mereka secara langsung di situ.

Justeru kemunculan mereka membantu melebarkan promosi Soccer Station sekali gus menarik tambahan pengunjung apatah lagi masyarakat di negeri ini amat menggemari bola sepak dan begitu fanatik terhadap pasukan negeri.

Juhar menambah, premis tersebut juga bukan hanya bertumpu kepada bola sepak, tetapi menitikberatkan mutu sajian dengan penyediaan menu tempatan dan Barat di samping masakan istimewa dari Asia Barat iaitu kebab.

“Di tingkat atas pengunjung berkumpulan boleh menempah ruang untuk tontonan secara eksklusif yang boleh menampung sehingga 50 orang,” ujarnya.

Katanya, pihaknya juga menjadikan premis itu bagi menjalankan kursus motivasi khususnya untuk remaja, keusahawanan serta berkaitan riadah dan sukan.

Di samping itu, ia menyediakan perkhidmatan Wi-Fi percuma yang turut menarik pengunjung terutama pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan mereka akan menerima diskaun lima peratus bagi setiap pesanan.

‘‘Setiap lima peratus hasil jualan terhadap setiap pelanggan, kami asingkan untuk didermakan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Ia suatu sumbangan kecil daripada kami,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment