Thursday, March 4, 2010

PDRM tempat 32 balai bergerak di 50 kawasan panas (4/3/10)

KLANG: Sebanyak 32 balai polis bergerak telah ditempatkan di 50 "kawasan panas" dengan jenayah di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang bagi meningkatkan kehadiran polis di kawasan itu dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam serta mencegah jenayah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka menerima 90 lagi balai polis bergerak, di mana 60 adalah van dan 30 lagi bas mini, pada Jun depan dalam usaha menurunkan kadar jenayah di negara ini.

"Balai Polis Bergerak ini dilengkapi dengan sistem komputer yang boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai jenayah seperti kecurian atau kehilangan kereta," katanya kepada pemberita selepas penyerahan lapan lagi balai polis bergerak dalam bentuk van kepada kontinjen Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang di Balai Polis Komuniti Bukit Tinggi di sini hari ini.

Katanya, balai bergerak itu disediakan oleh kerajaan menerusi Peruntukan Khas Perdana Menteri kerana pembinaan balai polis baru mungkin terpaksa menunggu sehingga Rancangan Malaysia ke-10.

Hishammuddin berharap badan bukan kerajaan dan PDRM dapat bekerjasama bagi mewar-warkan kepada orang ramai mengenai kemudahan balai polis bergerak yang ditempatkan di 50 kawasan panas itu.

Beliau berkata, bagi meningkatkan keberkesanan rondaan polis, motosikal telah mula digunakan kerana ia didapati berkesan daripada rondaan berjalan kaki di mana 393 motorsikal telah diterima dan digunakan oleh PDRM ketika ini.

"Pada masa yang sama, pihak PDRM juga telah memohon 404 motosikal tambahan yang digunakan di kawasan panas ini. Penempatan balai polis bergerak dan penggunaan motosikal ini adalah bagi menunjukkan peningkatan kehadiran polis di kawasan panas," katanya.

Hishammuddin berkata, seramai 37,883 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada polis, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) telah ditempatkan di 50 kawasan panas di empat negeri itu bagi mengurangkan kadar jenayah.

Beliau berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga menyumbang 415 polis bantuan mereka untuk membantu PDRM dalam inisiatif membasmi jenayah.

Malah, beliau berkata usaha sedang dijalankan untuk memberi peluang orang awam melakukan tugas pengkeranian polis dan sejumlah 1,456 anggota polis yang kini menjalankan tugas pengkeranian telah dikenalpasti bagi melakukan tugas rondaan.

Hishammuddin berkata, walaupun tumpuan polis diberikan kepada 50 kawasan panas di empat negeri itu, tidak bermakna keselamatan orang awam di kawasan lain akan diabaikan.

Beliau berkata, penumpuan khusus yang diberikan kepada empat negeri itu adalah kerana mereka menyumbang kepada 87 peratus kadar jenayah di seluruh negara.

Dengan penumpuan khusus itu, kadar indeks jenayah negara turun sebanyak 3.7 peratus pada suku keempat 2009 berbanding suku kedua 2009, serta penurunan indeks jenayah jalanan sebanyak 7.6 peratus dalam tempoh masa yang sama.

Ditanya mengenai laporan sebuah akhbar hari ini bahawa terdapat tukang jahit warga Bangladesh yang menerima tempahan pakaian pasukan keselamatan tanpa menyelidik latar belakang pelanggan, beliau berkata:

"Salah tu...kita tak akan kompromi dalam tu, saya minta mereka berhenti atau kita ambil tindakan."

Mengenai sikap masyarakat yang seolah-olah membiarkan kejadian kematian Syafiah Humairah Sahari, 3, yang disyaki mati didera baru-baru ini, Hishammuddin berkata puncanya akan dicari.

Beliau berkata, sesuatu perlu dilakukan bagi menggalakkan masyarakat berani tampil bukan sahaja untuk membantu siasatan tetapi sehingga kes itu dibawa ke muka pengadilan.

Mengenai isu anugerah darjah kehormat yang dikurniakan oleh wakil Sultan Sulu kepada tiga rakyat Malaysia Selasa lalu, Hishammuddin berkata walaupun kesahihan anugerah itu dipertikaikan, masih ada pihak yang menerimanya tetapi rakyat Malaysia boleh menilai sendiri nilai penganugerahan itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment