Sunday, March 7, 2010

Esplanade, ikon baru Kuching

Oleh SOPI SAMAILE
utusansarawak@utusan.com.my



Percikan bunga api mewarnai ruang udara ketika perasmian Esplanade Kuching dekat Tebingan Sungai Sarawak Waterfront , Kuching, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



KUCHING 7 Mac 2010 – Esplanade Kuching yang dibina dengan kos RM6.6 juta bukan sahaja menjadi ikon baru di bandar raya ini malah mampu menarik kedatangan kira-kira 3 juta pelancong yang disasarkan setiap tahun.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pembinaan Esplanade itu juga secara tidak langsung mencerminkan imej baru bandar raya ini yang lebih tersusun, menarik serta kondusif.

Menurut beliau, pembinaan Esplanade Kuching di Jalan Gambier di sini merupakan kesinambungan pembangunan Tebingan Kuching yang dijangka menjadi tarikan utama pelancong khususnya dari luar negara.

‘‘Esplanade Kuching ini dikelilingi bangunan-bangunan yang cukup cantik terutamanya Astana Negeri serta Kompleks Dewan Undangan Negeri Baru selain bangunan bersejarah di sekitar bandar ini.

‘‘Ia akan menjadi kebanggaan rakyat Sarawak, malah pembinaan Esplanade akan menyerlahkan lagi bandar raya Kuching sebagai pusat destinasi pelancongan,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Esplanade Kuching di sini malam semalam.

Dalam pada itu, Abdul Taib memberitahu, Esplanade itu juga akan memberi kesan positif kepada perniagaan di sekitar Main Bazaar, Tua Pek Kong dan Jalan Tun Openg.

Katanya, secara tidak langsung ia akan mengubah orientasi perniagaan tradisional sebelum ini kepada bentuk yang lebih moden serta menarik.

Sehubungan itu, jelasnya, setiap pembangunan yang kerajaan laksanakan akan memberi impak kepada masyarakat terutamanya para peniaga memandangkan Esplanade bakal meningkatkan jumlah pengunjung di kawasan tersebut.

‘‘Pada masa yang sama, setiap pembaharuan perlu memberi tumpuan kepada generasi muda kerana mereka hidup dalam zaman baru dan lebih moden dengan kecenderungan kepada gaya serta fesyen baru luar negara.

‘‘Justeru, kita harus seimbangkan orientasi perniagaan yang dijalankan supaya sesuai dengan cara dan kehendak generasi muda pada masa ini,” ujarnya.

Abdul Taib yakin, pembangunan Esplanade Kuching akan meningkatkan pendapatan para peniaga di kawasan tersebut berlipat kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Esplanade, ikon baru Kuching

Oleh SOPI SAMAILE
utusansarawak@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment