Thursday, March 25, 2010

Pusat Bimbingan Usahawan diwujudkan

KUALA LUMPUR 25 Mac 2010 - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mewujudkan Pusat Bimbingan Usahawan tidak lama lagi bagi memberi khidmat nasihat kepada para usahawan bumiputera.

Menterinya, Datuk Se-ri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, kewujudan pusat itu kelak bakal memantapkan usaha kerajaan dalam membantu usahawan bumiputera untuk lebih berjaya.

Menurutnya, pusat itu juga akan meneruskan khidmat nasihat kepada usahawan bumiputera yang sebelum ini menyertai program kelolaan beberapa agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

Justeru katanya, usahawan bumiputera tidak perlu bimbang kepentingan mereka akan terjejas kerana peranan MECD seperti khidmat nasihat diambil alih oleh MITI.

''MITI akan mewujudkan Pusat Bimbingan Usahawan bagi memberi khidmat nasihat dan konsultansi keusahawanan yang akan beroperasi dalam sebulan ini," katanya menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mahfuz menanyakan apakah pihak kerajaan telah mengenalpasti rungutan usahawan mengenai kesukaran-kesukaran yang dihadapi mereka berikutan penstrukturan semula agensi-agensi yang sebelum ini berada di bawah MECD.

Dalam pada itu kata Mustapa, kerajaan tidak bercadang mewujudkan semula MECD yang dibubarkan April lalu kerana peranan kementerian itu telah diserapkan ke lapan kementerian termasuk MITI dan Kementerian Kemajuan Luar bandar dan Wilayah.

"Saya memberi jaminan walaupun MECD ini telah dibubarkan dan peranannya dipindah kepada lapan kementerian lain, kerajaan tetap memperjuangkan agenda Bumiputera," jelasnya.

Terdapat 11 agensi yang diletakkan di bawah MECD sebelum ini seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Bank Rakyat, Bank Pembangunan, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) dan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA).

No comments:

Post a Comment