Monday, March 15, 2010

KL Krash Pad bimbing remaja kota

KUALA LUMPUR 15 Mac 2010 – Sejajar dengan matlamat untuk mendekati kumpulan sasar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil inisiatif menubuhkan KL Krash Pad (KLKP) bagi memberi bimbingan kepada remaja kota.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, KLKP yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini bakal menjadi pusat aktiviti kepada remaja berusia 13 hingga 21 tahun yang menjurus kepada pembentukan sahsiah dan jati diri.

Katanya, ia juga bakal berfungsi sebagai zon selamat kepada remaja yang berhadapan sebarang masalah dan memerlukan kaunseling atau bimbingan secara peribadi tanpa ada rasa terancam.

“Program yang dipertanggungjawabkan kepada Yayasan Salam Malaysia (Salam) di sini itu adalah bersifat substantif serta ‘mesra generasi muda’ bagi memberi keselesaan kepada remaja tanpa ada rasa takut.

“Antara aktiviti dijalankan adalah kelas komputer, muzik, akademik dan bermacam lagi. Saya lihat ia mampu mewujudkan persekitaran positif kepada golongan remaja tertentu terutama yang berasal dari keluarga bermasalah atau miskin,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan KLKP di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment