Tuesday, January 19, 2010

Trak bergerak A&W

KUALA LUMPUR 19 Jan. - KUB Malaysia Bhd. (KUB) melalui A&W (M) Sdn. Bhd. (A&W), pengendali restoran makanan segera A&W, menyediakan hampir RM1 juta untuk memulakan operasi trak bergerak A&W.

Pengarah Urusan Kumpulan KUB, Datuk Mohd Nazar Samad berkata, operasi baru yang pertama seumpamanya di Malaysia, akan membawa A&W ke kawasan yang tidak mempunyai cawangannya.

''Kami menyasarkan untuk mempunyai tiga trak ini pada tahun ini dengan dua lagi akan mula beroperasi pada suku kedua tahun ini.

''Trak pertama yang dilancarkan hari ini, akan digerakkan ke seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, kata beliau selepas Majlis Pelancaran Wajah Baru Cawangan Batu Road (Jalan Tunku Abdul Rahman) dan Trak Bergerak A&W di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Hadir sama Pengerusi KUB, Datuk Abdul Halim Abdul Samad, Naib Presiden Operasi Yum! Restaurant International, Newman Manion dan anak pengasas A&W, Jim Phenix.

Mohd. Nazar berkata, ia adalah salah satu cara untuk A&W membuat kemunculan semula dengan memperkenalkan produk mereka di seluruh negara.

''Pengenalan trak ini merupakan evolusi perkembangan A&W dengan perancangan yang telah dimulakan sejak 2008.

''Kemunculan semula ini perlu, memandangkan A&W merupakan francais restoran makanan segera pertama di Malaysia dan perlu berhadapan dengan pasaran semasa yang sangat kompetitif,'' jelasnya.

Selain itu, katanya, A&W telah melakukan kerja-kerja menaik taraf ke semua cawangan restoran mereka sebanyak 39 cawangan dan berharap akan di siapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Ketika ditanya mengenai sumbangan segmen makanan dan minuman kepada Kumpulan KUB, Mohd. Nazar berkata, ia pada masa ini menyumbang sebanyak 10 peratus kepada pendapatan KUB.

''Pada masa hadapan KUB menjangkakan ianya akan menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan KUB,'' katanya.

No comments:

Post a Comment