Monday, January 18, 2010

CIMB Islamic lancar produk baru

EKONOMI
Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
CIMB Islamic Bank Bhd melancarkan produk pelaburan berstruktur berlandaskan syariah terbarunya, Best of Asian Giants Access NID-i yang memanfaatkan potensi pelaburan di China, India serta dalam komoditi.

Timbalan Ketua Eksekutif Pelaburan dan Perbendaharaan Kumpulan CIMB, Datuk Lee K Kwan, berkata produk berkenaan yang dibuka kepada pelabur yang mempunyai deposit minimum RM65,000 dengan CIMB Islamic, turut menawarkan jaminan perlindungan modal.

Dengan tempoh pelaburan antara lima hingga tujuh tahun, beliau berkata produk itu menawarkan perlindungan modal asas dan keuntungan indikatif pada kadar purata 1.1 peratus setahun untuk pelaburan selama lima tahun.



“Sejak kemuncak krisis ekonomi, pasaran saham China dan India kembali pulih dengan kadar lebih pantas berbanding negara maju yang lain.

“Setakat 8 Januari lalu, indeks saham di China dan India masing-masing meningkat kira-kira 60 dan 80 peratus sejak 1 Januari tahun lalu. Justeru, kami menyasarkan menerima pelaburan kira RM300 juta daripada produk ini,” katanya pada majlis pelancaran Best of Asian Giants Access NID-i di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif/ Pengarah Eksekutif CIMB Islamic, Badlisyah Abdul Ghani; Timbalan Ketua Eksekutif CIMB Islamic, Muzaffar Hisham dan Ketua Produk Perbankan dan Berstruktur CIMB Investment Bank, Chu Kok Wei.

Beliau berkata, dengan pelaburan minimum RM65,000 dan pelaburan tambahan dalam gandaan RM5,000, pelabur boleh melanggan produk berkenaan sehingga 3 Februari ini yang ditawarkan di semua cawangan CIMB Bank dan CIMB Islamic.

Katanya, produk itu turut mempunyai akses dan penyertaan tidak langsung melalui saham multinasional yang disenaraikan di luar China dan India.

Ini bagi membolehkan pelabur mendapat akses ke China dan India kerana kebanyakan saham multinasional berkenaan turut disenaraikan di indeks saham utama Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah serta Australia, katanya.

“Pelancaran produk ini menunjukkan keupayaan kumpulan CIMB yang secara konsisten melancarkan produk berstruktur inovatif khusus untuk segmen perbankan pelanggan,” katanya sambil menambah lebih banyak produk deposit berstruktur akan dilancarkan tahun ini daripada 32 produk tahun lalu.

No comments:

Post a Comment