Monday, January 25, 2010

75% peserta berjaya berhenti merokok

KUALA LUMPUR 25 Jan 2010 - Sebanyak 75 peratus peserta yang terlibat dalam program berhenti merokok 'Intervensi Varenicline' anjuran Poliklinik Komuniti Tanglin di sini berjaya berhenti merokok dalam tempoh tujuh bulan berturut-turut.

Pegawai Perubatan Pentadbir Poliklinik Komuniti Tanglin, Dr. Murniati Hassan berkata, kejayaan itu adalah berdasarkan komitmen kaunselor klinik selain peserta yang tidak putus asa dalam menangani ketagihan mereka.

"Ini merupakan pencapaian yang baik buat Poliklinik Komuniti Tanglin kerana dalam tempoh tujuh bulan sahaja seramai 32 orang peserta berjaya berhenti merokok.

"Berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekiranya peserta berhenti merokok selama enam bulan berturut-turut, rawatan tersebut dianggap berjaya,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Berhenti Merokok kepada 32 peserta yang mengikuti program berhenti merokok itu di Hotel Grand Seasons di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr. Ismail Abu Taat serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Kawalan Tembakau, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Zarihah Mohd. Zain.

Bagaimanapun, kata Murniati, usaha itu masih belum selesai kerana menyasarkan satu tahun lagi susulan terhadap setiap peserta bagi program itu.

Program Intervensi Varenicline bermula sejak Julai 2009 dan disertai 40 peserta.

Dalam pada itu, seorang peserta, Nasarudin Tajudin, 49, memberitahu, program intervensi itu benar-benar membantunya berhenti merokok.

"Walaupun saya bukan perokok tegar namun bukan mudah untuk berhenti merokok serta-merta.

"Menerusi rawatan yang disediakan di sini sedikit sebanyak dapat membantu saya berhenti merokok dan kini hampir 10 bulan saya bukan perokok lagi," katanya.

Pendapat itu turut disokong seorang pesara tentera, Murad Mohd. Nasarudin, 47, yang menyifatkan rawatan di klinik berhenti merokok amat sesuai kepada perokok yang tidak mempunyai kekuatan dan keazaman untuk berhenti merokok.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Shanmuganathan P. Raman, 36, berkata, program ini memerlukan sokongan penuh ahli keluarga bagi memastikan setiap peserta tidak kembali merokok.

"Sokongan serta komitmen ahli keluarga amat penting kerana ia merupakan motivasi terbesar para perokok untuk berhenti merokok," katanya.

No comments:

Post a Comment