Thursday, January 28, 2010

‘Bermalam di Muzium’ produk baru

Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 28 Jan 2010 – Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) berhasrat menjadikan program ‘Bermalam di Muzium’ sebagai salah satu produk pelancongan yang berpotensi untuk dikembangkan.

Pengurus Besar Perzim, Khamis Abas berkata, produk pelancongan tersebut dianggap mampu memberikan kelainan dalam usaha menambat hati pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.

Menurutnya, program yang mula diperkenalkan setahun tahun lalu itu di Muzium Samudera itu berjaya menarik perhatian ramai pengunjung termasuk dari pelancong luar negara.

‘‘Sejak diperkenalkan, pengunjung lebih gemar memilih untuk bermalam di muzium bagi merasai pengalaman baru di sana.

‘‘Kebanyakan pengunjung akan memberikan satu tindak balas yang positif mengenai program tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Selain itu kata beliau, sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung turut dijadikan penanda aras dan wajar dipopularkan di kalangan masyarakat luar.

‘‘Saya percaya produk ‘Bermalam Di Muzium’ ini akan menjadi salah satu tarikan di negeri ini dan berharap hotel-hotel serta agensi pelancongan berminat untuk menjadikan ianya salah satu pakej pelancongan.

‘‘Sehingga kini, Perzim bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka dan Naza Taliyya Hotel Melaka berganding bahu mempromosikan produk pelancongan yang dimiliki.

‘‘Saya yakin program ini mampu untuk menarik kunjungan orang ramai ke negeri Melaka’', tambah beliau lagi.

Khamis menambah, selain daripada memberi pengalaman baru kepada pengunjung, program ini juga membantu dalam meningkatkan hasil pendapatan peniaga di kawasan tersebut.

No comments:

Post a Comment