Tuesday, January 26, 2010

Pasar Tani 1Malaysia akan diwujud

SEREMBAN 26 Jan. - Bagi merealisasikan konsep 1Malaysia, sebuah pasar tani kekal berkonsepkan gagasan berkenaan akan dibuka di Jalan Kilometer 12, Jalan Seremban-Kuala Pilah untuk semua kaum di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, pasar tani itu bakal menjadi salah satu daya tarikan pelancong dan penduduk di sekitar bandar ini.

"Pembukaan pasar tani ini akan bermula kira-kira enam bulan lagi dan sekiranya ia mendapat tempat kita merancang untuk mulakan fasa kedua yang mempunyai sebuah bangunan kekal bernilai RM5 juta," katanya.

Yunus berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah tapak pasar berkenaan di Kilometer 12, Jalan Seremban-Kuala Pilah, baru-baru ini.

Tambah beliau, pasar tani berkenaan akan dikendalikan sendiri oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Beliau berkata, kadar sewa yang akan dikenakan kepada para peniaga dan pemborong nanti adalah berpatutan dan rendah.

"Ia membolehkan para pemborong sendiri yang berniaga, kita tidak mahu orang tengah kerana kita mahu lihat pengguna mendapat barang keperluan harian dengan kadar yang lebih rendah," ujarnya.

No comments:

Post a Comment