Sunday, January 17, 2010

Program kejiranan mesra

Oleh SOPI SAMAILE
utusansarawak@utusan.com.my

KUCHING 17 Jan 2010 – Pelaksanaan Program Kejiranan Mesra dilihat mampu mempertahankan budaya dan nilai hidup bermasyarakat di kawasan bandar daripada terhakis ekoran perubahan zaman.

Menteri Perumahan dan Pembangunan bandar Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, program seumpama itu dapat merapatkan hubungan, memupuk perasaan kasih sayang dan sikap bertanggungjawab di kalangan masyarakat.

Menurutnya, kehidupan bermasyarakat akan terhakis jika mereka yang tinggal di bandar raya semakin sibuk dengan urusan harian sehingga tidak berpeluang untuk mengenali sesama jiran.

“Sehubungan itu, menjadi harapan kita melalui program yang dianjurkan ini akan menghidupkan budaya hidup bermasyarakat dan ia terus dikekalkan sekali gus meningkatkan semangat kerjasama dan perpaduan antara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pertandingan Antara Kawasan Kejiranan Mesra di Tebingan Sungai Kampung Sourabaya di sini malam tadi.

Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata, kemakmuran sesebuah negara adalah bergantung kepada kemantapan dan keutuhan hubungan pada setiap lapisan masyarakatnya.

Kata beliau, hubungan yang erat adalah antara ciri-ciri masyarakat berkualiti yakni sebuah masyarakat yang bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman sesama mereka bahkan menjadi aset penting kepada negara.

Sementara itu, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Mohd. Atei Abang Medaan terdahulu dalam ucapannya berkata, hubungan kejiranan yang erat adalah antara kunci utama ciri-ciri komuniti yang berkualiti yang ditekankan dalam konsep Kejiranan Mesra DBKU.

Jelasnya, sebuah komuniti yang berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman adalah aset paling penting kepada DBKU dalam usaha membangun dan memajukan masyarakat.

“Kejiranan Mesra yang diwujudkan wajar membawa pendekatan baru dengan semangat kejiranan baru, demi menjelmakan sebuah komuniti yang mengutamakan prestasi berpaksikan kejiranan yang efektif.

“Pada masa yang sama, ia mengukuhkan lagi keyakinan komuniti setempat terhadap pihak yang berwajib dalam soal keselamatan setempat serta mengembalikan semangat untuk menangani pelbagai gejala yang dianggap berbahaya kepada masyarakat,” ujarnya.

Pada masa ini, terdapat 20 kampung dan taman termasuk di bawah Kejiranan Mesra DBKU dengan tiga kawasan Kejiranan Mesra dipilih menjadi tuan rumah sekali gus diserapkan dalam program ‘Re-Visit’ yang dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Utara, Zon Barat dan Zon Selatan.

No comments:

Post a Comment