Monday, January 18, 2010

Kempen kedua Happy Deals

HSBC Bank Malaysia Bhd yang memperkenalkan ‘HSBC Happy Deals’ untuk kali kedua, yakin mencatatkan nilai jualan lebih tinggi sepanjang berlangsungnya kempen berkenaan tahun ini.

Kempen ‘HSBC Happy Deals’ yang berlangsung sehingga 31 Mac ini menawarkan rangkaian tawaran terbaik kepada pelanggan perbankan HSBC Malaysia yang merangkumi produk Pembiayaan Peribadi, Takaful, Pembiayaan Rumah, Pelaburan dan Deposit Tempoh Tukaran Asing.

Inisiatif ‘HSBC Happy Deals’ diperkenalkan buat kali pertama pada April tahun lalu dengan menawarkan penjimatan kadar faedah sehingga RM65,000 dan perlindungan percuma sebanyak RM100,000 bagi Household Contents Shield apabila mendaftar untuk HomeSmart atau HomeSmart-i.



Ketua Pemasaran HSBC Malaysia, Abdul Sani Abdul Murad, berkata bank itu menyaksikan peningkatan 60 peratus jualan untuk suku kedua berbanding suku pertama tahun lalu susulan pelancaran kempen itu yang berlangsung selama sebulan.

Katanya, pada masa sama cawangan HSBC Malaysia di seluruh negara turut mencatatkan peningkatan enam peratus dari segi kunjungan pelanggan.

“Kami amat yakin dengan angka berkenaan dan bersandarkan kepada keputusan kewangan 2009, kami mengharapkan prestasi lebih baik menerusi kempen ini yang kini kembali lagi tahun ini,” katanya selepas melancarkan kempen ‘HSBC Happy Deals’ di Kuala Lumpur, semalam.





Abdul Sani berkata, kempen ‘HSBC Happy Deals’ dilancarkan kembali sebagai inisiatif bank itu untuk membantu meringankan beban kewangan pengguna tanpa perlu mengenepikan gaya hidup mereka.

“Kempen tahun ini adalah lebih besar dengan peruntukkan RM7 juta untuk tujuan promosi,” katanya.





Antara tawaran kempen ‘HSBC Happy Deals’ tahun ini ialah pelanggan yang mendapatkan pembiayaan HomeSmart atau HomeSmart-i dapat memendekkan sehingga hampir separuh tempoh pembiayaan rumah masing-masing selain berpeluang memenangi sistem teater rumah Panasonic.

No comments:

Post a Comment