Monday, January 25, 2010

Misi damai: Zahid Hamidi tunggang motosikal kuasa tinggi ke Thailand

BANGKOK 25 Jan 2010 - Dengan menunggang superbike Honda Gold Wing berkuasa 1,800 cc, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang melakukan Misi Damai 11 hari dari Chiang Rai ke Bukit Kayu Hitam singgah di Kedutaan Malaysia di sini hari ini.

Beliau disambut oleh Duta Besar, Datuk Husni Zai Yaacob setibanya di kedutaan itu pada 11 pagi (12 tengah hari waktu Malaysia).

"Selain mewujudkan kontek rakyat dengan rakyat, ekspedisi 50 penunggang itu dari tiga negara - Malaysia, Thailand dan Indonesia - juga bertujuan mempertingkatkan diplomasi tentera," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata, 50 penunggang dan 40 pembonceng terdiri daripada pegawai kanan tentera dan profesional dari tiga negara terbabit.

Perjalanan mereka bermula di Chiang Rai, Thailand pada Rabu lepas dan dijadual berakhir di Bukit Kayu Hitam, Kedah, Ahad ini.

"Keamanan boleh disumbangkan secara tidak rasmi. Sebenarnya, kami memupuk diplomasi tidak rasmi. Walaupun kami datang dari tiga negara, dan terdiri daripada beberapa bangsa, agama dan latar belakang. Kami bercakap dalam bahasa sama - bahasa motosikal," kata beliau.

Ekspedisi itu dianjurkan oleh Persatuan Superbikers Malaysia yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid, seorang peminat mendalam terhadap super bike berkata, beliau akan mempertimbangkan menjadikan acara itu sebagai acara tahunan sebagaimana dicadangkan oleh Husni. "Saya akan menunggung selagi terdaya," kata menteri berusia 58 tahun itu yang mempunyai lima anak dan enam cucu.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia akan meneruskan peranan sebagai pemerhati di latihan tentera Cobra Gold AS-Thai sekalipun Korea Selatan telah menaikkan tarafnya dari pemerhati kepada peserta di latihan itu tahun ini.

Malaysia, katanya, akan meneruskan latihan tentera bilateral masing-masing dengan Thailand dan Indonesia.

Lebih 11,000 askar dari Thailand, Amerika Syarikat, Jepun, Indonesia, Singapura dan Korea Selatan akan mengambil bahagian dalam latihan 11 hari itu bermula 1 Februari di wilayah-wilayah Rayong, Phetchaburi dan Lop Buri di Thailand. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment