Friday, January 29, 2010

Saman dihantar dalam 48 jam

PUTRAJAYA 29 Jan 2010 – Mulai Ogos ini, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik terutama memandu laju dan melanggar lampu isyarat akan menerima saman yang dihantar terus ke alamat mereka dalam tempoh 48 jam selepas kesalahan itu dikesan.

Tindakan itu akan dilaksanakan apabila pengunaan Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES) dikuatkuasakan, yang membolehkan gambar wajah pemandu dan plat nombor kenderaan mereka dirakam terus melalui teknologi radar kamera itu.

Maklumat yang dirakam itu akan dihantar terus ke pusat kawalan yang akan memprosesnya bagi penghantaran saman kepada pesalah dalam tempoh 48 jam, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Suret Singh.

“Melalui penguatkuasaan ini, pesalah jalan raya tidak akan dapat menafikan kesalahan yang dilakukan kerana gambar dan nombor kenderaan mereka tertera dalam saman yang akan dihantar.

“Saya memberi amaran kepada pengguna jalan raya, agar menukar amalan pemanduan mereka dari sekarang dan jangan menunggu sehingga bulan Ogos apabila penguatkuasaan mula dijalankan,” katanya kepada Bernama dalam temubual ekslusif di pejabatanya di sini hari ini.

Suret berkata, projek AES yang digunapakai di kebanyakan negara maju termasuk Singapura mampu mendidik masyarakat untuk menjadikan mereka lebih berhati-hati dan mengikut peraturan jalan raya.

Beliau berkata, projek perintis AES akan dijalankan di beberapa lokasi terpilih pada Mei ini bagi mengenal pasti kelemahan dan untuk melatih anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengendalikan kamera itu.

Ini, katanya, bagi memastikan kelancaran lebih 1,000 kamera AES yang akan dipasang di seluruh negara.

“Ia akan melibatkan 70 peratus kamera statik manakala 30 peratus kamera bergerak yang akan membuat penguatkuasaan di lokasi-lokasi terpilih yang tidak diketahui pengguna jalan raya.

“Dengan cara ini penguatkuasaan dan pemantauan yang dijalankan akan lebih berkesan kerana ia dilakukan 24 jam sehari sepanjang 365 hari setahun di kawasan-kawasan strategik,” katanya.

Suret berkata, AES tidak akan disorok daripada pemandu dan papan tanda amaran mengenai kedudukan alat itu akan dipasang bagi memberi peringatan di laluan berisiko tinggi berlaku kemalangan.

Kamera AES akan dipasang di lokasi yang dikenalpasti kawasan berisiko tinggi berdasarkan statistik Institut Penyelidikan Kemalangan Jalan Raya Malaysia (Miros), antaranya di 265 kawasan lampu isyarat dan 556 kawasan kemalangan yang disebabkan kenderaan dipandu laju, katanya. Beliau berkata, satu perjanjian akan ditandatangani antara JPJ dan dua syarikat pembekal kamera itu dalam masa terdekat ini.

AES adalah sebahagian daripada pendekatan penguatkuasaan elektronik yang diperkenalkan untuk mencapai sasaran nisbah hanya dua kematian daripada 10,000 kenderaan menjelang 2010.

Selain berfungsi sebagai perangkap kelajuan, Suret berkata AES juga boleh digunakan bagi mengatasi masalah jenayah dan memudahkan kaedah memantau keadaan lalu lintas.

– Bernama

No comments:

Post a Comment