Wednesday, January 27, 2010

Sambutan hari kebesaran negara jurus babitkan rakyat

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Kerajaan akan mengubah cara sambutan kesemua hari kebesaran di negara ini pada masa depan supaya ia tidak mementingkan formaliti dan lebih menjurus kepada pembabitan rakyat.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ini bermakna, sambutan hari-hari kebesaran negara akan bersifat tidak terlalu formal.

''Jadi dalam konteks ini, kami di kementerian ini akan mengubah pendekatan untuk lebih merakyatkan hari-hari kebesaran negara.

''Sebagai permulaan, program sambutan Tahun Baru Cina yang akan diadakan di Pandamaran, Klang pada 20 Februari ini tidak banyak dalam keadaan formal seperti pemimpin hanya berucap sahaja," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, sambutan hari kebesaran negara pada masa hadapan bakal menyelitkan selingan seperti aktiviti membabitkan rakyat yang hadir dan pembaharuan itu akan dilakukan secepat mungkin.

Sebagai contoh jelasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga akan menyertai perayaan Thaipusam pada ambang sambutannya di Batu Caves di sini.

''Ia akan menjadi satu perayaan rakyat dan titik harmonis yang amat penting bagi negara kita,'' ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Rais memberitahu, kementeriannya telah dilantik oleh Perdana Menteri untuk mengendalikan penulisan memoir bekas Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tun Ghazali Shafie.

Katanya, kementerian beliau akan memberikan kemudahan terbaik supaya penulisan riwayat hidup negarawan itu dapat dilaksanakan menerusi penyelidikan bertaraf tinggi dan bukan sekadar cetusan biasa.

Sementara itu, katanya, Perdana Menteri telah mengarahkan semua kementerian supaya menyegerakan perkara berkaitan permohonan dan rayuan rakyat.

''Perdana Menteri telah memberi contoh misalnya dahulu pasport antarabangsa diluluskan dalam tempoh sebulan, sekarang sudah dalam tempoh beberapa jam sahaja,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment