Monday, January 25, 2010

Pusat kawalan bantu kurangkan jenayah

IPOH 25 Jan. - Polis percaya usaha penduduk setempat mewujudkan pusat perkhidmatan kawalan keselamatan di taman perumahan dapat membantu mengurangkan kegiatan jenayah di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner II, Datuk Zuraidi Ibrahim berkata, langkah itu juga dapat mendidik masyarakat lebih peka terhadap kejadian yang tidak diingini.

Beliau berkata, walaupun begitu, polis sentiasa mengadakan rondaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin.

"Polis memberi sokongan kepada penduduk taman yang mengambil inisiatif mewujudkan pondok kawalan keselamatan dalam usaha membendung kegiatan jenayah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pusat perkhidmatan kawalan keselamatan di Taman Lapangan SSI di sini.

Zuraidi berharap, penduduk di bandar ini bekerjasama dengan melaporkan segera kejadian jenayah bagi memudahkan mereka bertindak.

Dalam perkembangan lain Zuraidi berkata, polis masih menjalankan siasatan dan belum melakukan sebarang tangkapan berhubung kes rompakan kedai emas di Gunung Rapat pada 17 Jun lalu.

"Siasatan dalam pelbagai sudut perlu bagi membolehkan kes rompakan itu disiasat dengan teliti," katanya.

Dalam rompakan tersebut, sebuah kedai emas di Gunung Rapat kerugian kira-kira RM400,000 apabila kumpulan perompak memecah masuk pintu belakang sebuah kedai buku dan runcit yang terletak berhampiran dan kemudian memecahkan dinding untuk memasuki kedai gunting di sebelahnya.

No comments:

Post a Comment