Monday, January 18, 2010

MyID mudahkan rakyat

Oleh HELMI MOHD FOAD dan HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 18 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan MyID, satu inisiatif yang menggunakan nombor MyKad sebagai nombor rujukan tunggal untuk warganegara Malaysia yang berurusan dengan agensi kerajaan.

Beliau berkata, pelancaran inisiatif MyID itu adalah usaha untuk meningkatkan prestasi sistem penyampaian perkhidmatan dan memudahkan semua pihak berurusan dengan agensi kerajaan.

Sehubungan itu, jelas beliau, semua jabatan kerajaan digesa segera melaksanakan inisiatif MyID iaitu penggunaan nombor MyKad sebagai rujukan tunggal untuk memudahkan rakyat berurusan dengan pelbagai agensi.

Menurutnya, inisiatif tersebut lebih memudahkan rakyat selain menjimatkan masa kerana mereka tidak perlu lagi mengingati pelbagai jenis nombor rujukan.

Beliau berkata, setakat ini sejumlah 760 jenis perkhidmatan agensi Persekutuan dan negeri berjaya melaksanakan inisiatif itu iaitu dalam tempoh dua bulan selepas ia dibentangkan dalam Bajet 2010 Oktober tahun lalu.

''Kira-kira 630 perkhidmatan masih belum melaksanakan MyID tetapi 236 daripadanya akan melaksanakan sistem itu pada tahun depan.

''Kalau boleh sistem ini diguna pakai keseluruhannya kerana ia membantu rakyat di mana mereka berada dan untuk apa tujuan sekali pun hanya dengan menggunakan nombor kad pengenalan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan inisiatif MyID dan Persidangan Ketua-ketua Agensi Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Muhyiddin berkata, melalui aplikasi MyID, orang ramai tidak perlu bimbang tentang aspek keselamatan atau ancaman kepada negara kerana agensi terbabit akan mewujudkan mekanisme semakan peringkat kedua bagi pengesahan identiti pelanggan.

''Kalau ada apa-apa aspek daripada maklumat yang mungkin memerlukan bentuk tapisan dan sebagainya, agensi yang berkenaan boleh mengenakan peraturan-peraturan tambahan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pelaksanaan inisiatif MyID menjadi bukti bahawa kerajaan sentiasa meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.

''Saya percaya ia satu perubahan yang boleh dikatakan radikal. Saya tidak tahu negara manakah di dunia ini yang sudah guna pakai sistem sedemikian tetapi untuk Malaysia, ia satu langkah ke depan.

''Inisiatif yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berpegang kepada konsep "1 Nombor Semua Urusan" yang akan menjadikan semua urusan dengan agensi kerajaan menjadi lebih mudah dan cepat," katanya.

No comments:

Post a Comment