Saturday, January 30, 2010

Pelancongan golf: Sabah, Johor jalin kerjasama

MASIDI Manjun (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Hoo Seong Chang pada majlis taklimat bersama Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA KINABALU 30 Jan 2010 - Sabah akan menjalinkan kerjasama pelancongan dengan Johor khususnya dalam menganjurkan kejohanan golf bagi memperkasakan industri pelancongan negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, langkah berkenaan dijangka dapat meningkatkan jumlah pelancong yang berkunjung di kedua-dua negeri itu.

"Johor adalah negeri yang sangat penting dalam aspek pelancongan negara kerana ia merupakan pintu masuk pelancong luar negara khususnya Singapura.

"Jadi satu cara yang kita fikirkan boleh menambah jumlah pelancong ke Sabah ialah menganjurkan sirkit kejohanan golf membabitkan lokasi di kedua-dua negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis taklimat bersama Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, Hoo Seong Chang dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahmood.

Menurut Masidi, kerjasama antara kedua-dua negeri itu mampu menganjurkan satu sirkit kejohanan golf yang mendapat perhatian seluruh peminat sukan itu.

"Ini kerana Johor merupakan negeri yang paling banyak padang golf dengan di Johor Bahru sahaja terdapat 15 padang golf.

"Walaupun di Kota Kinabalu hanya mempunyai lima padang golf tetapi ia mampu menarik minat ramai pengunjung kerana terdapat banyak tarikan semulajadi di negeri ini seperti keindahan alamnya," kata beliau.

Sementara itu, Seong Chang berkata, pihaknya akan berusaha meningkatkan aliran trafik pelancongan domestik antara Johor dan Sabah dari semasa ke semasa.

Beliau memberitahu, kemudahan penerbangan terus setiap hari antara Sabah dan Johor akan memudahkan meningkatkan aliran pelancongan domestik kedua-dua negeri itu.

"Berdasarkan statistik, seramai 90,713 pelancong dari Kota Kinabalu melawat Johor sementara 85,591 pelancong dari Johor ke Kota Kinabalu pada tahun lalu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment