Saturday, January 16, 2010

Pelancong lawat kawasan samseng LA (17/1/10)

Kumpulan gangster jamin tak ganggu

LOS ANGELES - Pelancong mulai semalam bukan hanya mempunyai peluang melawat kediaman selebriti Hollywood, tetapi juga menjengok kawasan gangster paling ganas di selatan Los Angeles.

Penganjur LA Gang Tours mendapat persetujuan daripada empat kumpulan gangster utama agar tidak mengganggu bas yang akan membawa pelancong ke kawasan 'hitam' dikuasai kumpulan berkenaan.



Pengembaraan menaiki bas ke kawasan gangster itu akan mengambil masa dua jam dan mempunyai 12 tempat berhenti bagi melihat sejarah dan asal usul kumpulan gangster.

Bas pertama dengan 56 tempat duduk sudah pun habis dijual dengan harga AS$65 (RM220), termasuk makan tengah hari, kata penganjur itu.

Alfred Lomas, 45, seorang bekas gangster dan penganjur produk pelancong unik berkenaan berkata perolehan daripada perniagaannya itu akan digunakan sebagai dana pinjaman mikro yang akan ditawarkan kepada anggota kumpulan gangster yang mahu mengubah hidup mereka.

Pelancong besar kemungkinan tidak banyak dapat melihat anggota kumpulan gangster dalam lawatan itu kerana ia diadakan pada Sabtu pagi.

Bagaimanapun, Lomas dan empat atau lima bekas ahli kumpulan gangster akan ikut sama di atas bas menceritakan pengalaman mereka ketika dalam kumpulan gangster.

Produk pelancongan unik berkenaan mendapat kecaman beberapa pihak yang menganggap ia agak bahaya kerana membabitkan lawatan ke kawasan yang masih 'hangat.'

Bagaimanapun, bagi sesetengah yang lain ia satu idea yang baik.

"Los Angeles terkenal dengan taman tema dan ia juga terkenal dengan kumpulan gangster jalanannya.

"Apa salahnya kalau kita mengambil kesempatan menjual produk ini," kata Celeste Fremon, kata seorang penulis blog Witness L A. – Agensi

No comments:

Post a Comment