Sunday, January 17, 2010

Pusat maklumat di Bakam

MIRI 17 Jan 2010 - Pusat Maklumat Bakam (PMB) akan dibina di kawasan Bakam di sini tidak lama lagi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Aidan Wing berkata, projek itu dijangka akan dimulakan dalam tempoh tiga bulan akan datang di tapak jeti nelayan Bakam yang sedia ada.

''Apabila siap nanti, ia akan memudahkan para pelancong yang datang dari dalam dan luar negara mendapatkan maklumat terperinci berkaitan sektor pelancongan termasuk beberapa destinasi yang menarik untuk dikunjungi khususnya di kawasan Bakam," katanya

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi dialog bersama Datuk Bandar Miri, Lawrence Lai di sini baru-baru ini.

Katanya lagi, projek pembinaan PMB yang telah mendapat peruntukan sebanyak RM50,000 dari Jabatan Perikanan.

Katanya, peruntukan tersebut akan disalurkan menerusi Ahli Parlimen Sibuti dan pembinaannya berkonsepkan sebuah jeti iaitu "Busselton Jetty".

Tambahnya, ia adalah satu konsep yang menarik kerana binaan jetinya akan menganjur ke laut bagi memudahkan para pemilik bot pelancongan dan nelayan melabuhkan bot masing-masing.

''Selain mendapatkan maklumat tentang beberapa destinasi pelancongan yang menarik, para pelancong juga boleh menyewa bot serta beberapa kelengkapan lain untuk sukan marin seperti menyelam skuba dan melihat batu karang.

''Selain jeti, PMB juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain termasuk pembinaan tandas bertaraf empat bintang untuk kemudahan para pengunjung," katanya.

No comments:

Post a Comment