Saturday, January 16, 2010

Pakej perkahwinan dalam tren (17/1/10)

GEMAS: Pelbagai pakej istimewa, termasuk melangsungkan pernikahan dan majlis perkahwinan dalam tren ditawarkan kepada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan Ekspres Langkawi antara bandar ini dan Hatyai, Thailand yang dilancarkan petang kelmarin.

Pengurus Pemasaran Antara Bandar Kereta Api Tanah Melayu Bhd (KTMB), Noordin Kimi, berkata pakej lain dengan harga istimewa dalam tren itu termasuk mengadakan majlis sambutan hari jadi dan kelas tuisyen.

"KTMB kini sedang menunggu pasangan pertama yang akan diijab kabul dalam tren ini," katanya selepas majlis pelepasan Ekspres Langkawi di Stesen Kereta Api Gemas yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Datuk Zainab Nasir.



Turut melakukan pelepasan ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek Melaka, Datuk Ghaffar Atan.

Perkhidmatan ke Hatyai berlepas dari Gemas jam 6.15 petang mengambil masa kira-kira 15 jam untuk tiba di bandar Selatan Thailand itu atau kira-kira jam 10 pagi keesokannya, manakala perjalanan dari Hatyai ke Gemas pula berlepas jam 2 petang.

Antara stesen disinggahi sepanjang perjalanan ialah Tampin, Seremban, Kuala Lumpur, Tanjung Malim, Ipoh, Alor Setar, Bukit Mertajam, Sungai Petani, Arau dan Padang Besar.

Noordin berkata, sebelum ini perjalanan ke Hatyai hanya bermula dari Kuala Lumpur dan perkhidmatan terbaru ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari Thailand dan Utara Semenanjung ke Negeri Sembilan dan Melaka.

Berikutan itu, beliau menjangka KTMB mampu meraih pendapatan RM100,000 melalui perkhidmatan tren penumpang antara bandar, melepasi RM89,000 yang dicatatkan tahun lalu.

No comments:

Post a Comment