Monday, August 2, 2010

VOA dibatalkan – TPM

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 2 Ogos – Kerajaan memutuskan untuk membatalkan kemudahan visa sewaktu ketibaan (VOA) yang sebelum ini diberikan kepada pelancong asing daripada beberapa buah negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bagi mengelakkan penyalahgunaan visa tersebut di kalangan segelintir pihak yang memasuki negara ini.

‘‘Kita kekalkan keputusan kita iaitu tidak lagi menggunakan VOA kerana pada masa-masa lepas kita ada memberi kelonggaran kepada beberapa buah negara iaitu apabila pelawat yang datang dari negara itu mereka tidak ada visa, ia boleh dikeluarkan ketika mereka masuk di pintu masuk ke Malaysia.

‘‘Ini kita lihat berlaku kes penyalahgunaan dan sebagainya, kita setuju VOA dibatalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam.

VOA diperkenalkan pada 2006 sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 sebagai satu mekanisme menggalakkan kedatangan pelancong asing ke Malaysia.

Negara yang diberikan kemudahan tersebut antaranya China, India, Bhutan, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Taiwan dan Kepulauan Comoros.

Kerajaan kemudiannya mengambil keputusan menggantung kemudahan VOA kepada pelancong dari India, Pakistan dan Bangladesh ekoran berlaku banyak penyalahgunaan sehingga timbul masalah pendatang asing tanpa izin.

Statistik menunjukkan sehingga 2009, jumlah warga asing yang tinggal lebih masa dengan menggunakan VOA adalah seramai 75,462 orang atau 28 peratus daripada 271,391 pemegang visa tersebut yang kebanyakannya dari India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan China.

Menurut Muhyiddin, mesyuarat tersebut bersetuju agar langkah-langkah menangani pekerja asing tanpa izin dikuatkuasakan dengan lebih berkesan.

‘‘Pada peringkat ini, kita menyediakan satu sistem yang mampu menjadi penyelesaian total iaitu bermula daripada pendaftaran sehingga penguatkuasaan diperkukuhkan.

“Setakat ini kerajaan bersetuju dengan enam langkah yang diambil bagi mengatasi masalah PATI di samping 29 syor daripada makmal pengurusan warga asing yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, sebanyak 19 lagi syor memerlukan kajian lanjut manakala dua lagi digugurkan.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menubuhkan sebuah sekretariat tetap melibatkan pelbagai agensi berkaitan sebagai satu mekanisme untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif makmal.

‘‘Pada peringkat awal seramai 12 pegawai daripada pelbagai agensi akan ditempatkan di sekretariat tetap itu untuk melihat bagaimana perakuan makmal dapat dilaksanakan,” katanya.

Mengenai cadangan pemutihan, beliau berkata, langkah tersebut akan dilaksanakan selepas kerja-kerja pentadbiran diselesaikan iaitu membabitkan pengemaskinian data dan pemasangan sistem biometrik di semua pintu masuk negara.

‘‘Setelah dipasang sistem itu, baru boleh ambil langkah pemutihan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat berkenaan menolak dua syor makmal itu melibatkan cadangan tidak membenarkan restoran mamak beroperasi 24 jam dan syor penghapusan amalan perniagaan pertukaran barangan terutama di Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment