Tuesday, August 10, 2010

Akademi tangani jenayah rentas sempadan ditubuh

LANGKAWI 10 Ogos 2010 - Sebuah pusat latihan bersepadu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi keselamatan akan ditubuhkan bagi menangani isu serta ancaman jenayah rentas sempadan tidak lama lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, akademi itu bertujuan mewujudkan kefahaman antara KDN dan agensi keselamatan berhubung persekitaran, keselamatan domestik, serantau dan global.

Beliau berkata, akademi itu akan berpusat di Langkawi International Shooting Range (Lisram) berhampiran Kuah di sini, yang berkeluasan lebih 200 hektar.

"Jenayah rentas sempadan termasuklah jenayah pemerdagangan orang, penyeludupan migran, penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, penyeludupan dadah, antikeganasan, senjata biologi, bahan letupan dan jenayah siber.

"Pusat ini diharap mampu menjalankan penyelidikan mengenai cabaran dan trend isu-isu jenayah rentas sempadan semasa dan mengenal pasti bentuk ancaman jenayah ini pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemimpin atasan KDN, agensinya dan kepimpinan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Lisram, hari ini.

Hishammuddin berkata, berdasarkan perancangan awal, akademi atau pusat latihan berkenaan akan menyediakan dan melaksana program latihan serta bina upaya yang melibatkan kelas serta perbincangan, kajian kes dan soal selidik.

Beliau berkata, akademi itu akan dijadikan hab penyelidikan domestik dan antarabangsa berhubung isu rentas sempadan.

Katanya, akademi itu akan memiliki kemudahan asas seperti zon sukan dan rekreasi, kediaman, pentadbiran, simulasi serta latihan amali dan zon akademik.

"Ia akan ditadbir urus oleh seorang pengarah serta beberapa orang ahli lembaga pengarah yang terdiri daripada wakil-wakil dari sektor kerajaan serta pakar-pakar dalam bidang keselamatan yang berkaitan dengan jenayah rentas sempadan.

"Pusat latihan ini akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KDN yang bertanggungjawab secara langsung kepada Menteri Dalam Negeri," katanya.

Hishammuddin berkata, akademi itu diharap memainkan peranan yang kritikal dalam mewujudkan peluang latihan kelas pertama, menghasilkan kajian yang boleh dijadikan bahan rujukan serta menjalankan hubungan kerjasama antara agensi secara bersepadu.

"Pusat latihan ini juga perlu membina hubungan strategik dengan pakar-pakar serta agensi-agensi keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk agensi risikan dari seluruh dunia," katanya. - Bernama

Dalam perkembangan lain, beliau mengulas penahanan tokoh ulama Indonesia Abu Bakar Baasyir yang didakwa terbabit dengan kumpulan Al-Qaeda dan berkata kementeriannya telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Keseriusan di sini tidak kritikal, tapi mengikut prosedur dua hala dengan negara jiran, kita dah buat perancangan tertentu yang memerlukan kita lebih peka, prihatin dan membuat pemantauan terhadap beberapa individu," katanya.

Polis antikeganasan Indonesia telah menahan Abu Bakar, yang kini memimpin pergerakan Jamaah Anshorut Tauhid, pada 8.15 pagi semalam di daerah Banjar, Ciamis, Jawa Barat bersama lima pengikutnya, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment