Tuesday, August 3, 2010

Sabah & Sarawak: Polisi pemberian insentif disemak

2010/08/04
KERAJAAN Sabah menyemak semula polisi pemberian insentif sedia ada khususnya bagi skim subsidi pembajakan sawah iaitu daripada RM100 bagi setiap 0.4 hektar kepada RM200 tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Yahya Hussin, berkata pada masa sama, kerajaan turut memansuhkan had kelayakan maksimum setiap dua hektar kepada petani untuk menggalakkan pengusahaan tanah mereka. Katanya, kerajaan turut menaikkan harga pembelian benih padi daripada RM1 sekilogram kepada RM1.50 sekilogram bagi menggalakkan pengeluaran benih padi oleh pengusaha benih padi. "Kerajaan Persekutuan juga menyalurkan bantuan baja urea pada kadar empat beg bagi satu hektar dan baja sebatian pada kadar 10 beg setiap hektar.

"Sejak tahun lalu, kerajaan negeri sudah melaksanakan program mengikut Dasar Jaminan Bekalan Makanan dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kerajaan Persekutuan.

"Projek membuka dan memulih tanah terbiar serta pemulihan infrastruktur ladang seperti perparitan dan saliran yang dilaksanakan membolehkan lebih ramai pesawah mengusahakan tanah mereka," katanya menjawab soalan Au Kam Wah (BN-Elopura) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

Yahya berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan ke arah meningkatkan pengeluaran padi di negeri ini mendorong kepada peningkatan jumlah keluasan penanaman padi.
Pada 2008, katanya, jumlah keluasan penanaman padi adalah 37,448 hektar dan meningkat kepada 40,353 hektar tahun lalu.

"Perangkaan tahun ini belum disediakan kerana penanaman padi dilaksanakan hingga akhir tahun.

"Bagaimanapun, dianggarkan seluas 43,000 hektar tanaman padi diusahakan tahun ini dan daripada jumlah itu, kira-kira 986 hektar disumbangkan kawasan tanah sawah padi terbiar yang dibangunkan menerusi projek pemulihan tanah sawah terbiar oleh Jabatan Pertanian," katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastuktur, Datuk Japlin Akim, berkata projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Solar Hibrid Kampung Tambisan Darat dan Kampung Tambisan Laut dilaksanakan 1 Julai lalu dan dijangka siap Januari 2012.

"Apabila siap kelak, sebanyak 180 rumah dan bangunan akan menikmati bekalan elektrik. Projek ini ditawarkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kepada Syarikat Kinabalu Power Sdn Bhd.

"Bagi Kampung Tanjung Labian, projek ini tersenarai dalam cadangan projek BELB Sistem Solar Hibrid pada 2011," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Suhaili Said (BN-Tungku).

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bobbey Suan pula berkata, kerajaan melaksanakan beberapa projek bagi menangani masalah banjir kilat yang kerap berlaku di sekitar Kota Kinabalu.

"Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kementerian menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri menyiapkan beberapa projek dalam program Skim Pencegahan Banjir di Kota Kinabalu yang memanfaatkan beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu.

"Program Rancangan Tebatan Banjir Bandaran Sungai Telipok juga berjaya mengurangkan kekerapan dan kejadian banjir di Telipok dengan perbelanjaan kira-kira RM21.53 juta dalam RMK-9.

"Menerusi Kerajaan Persekutuan pula, JPS melaksanakan program Rancangan Tebatan Banjir Sungai Darau, Menggatal dengan kos RM38.9 juta dalam RMKe9," katanya menjawab soalan Datuk Liew Teck Chan (SAPP-Likas).

Bobbey berkata, dalam RMKe-10, JPS mengemukakan permohonan berjumlah RM220 juta dan diperakui Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Menggatal, Sungai Gudon, Sungai Telipok Selatan dan Sungai Miliwat dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu," katanya.

No comments:

Post a Comment