Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my
2010/08/05
Gaji permulaan ditawar RM2,500 berkuat kuasa 2012
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mewujudkan jawatan pengurus masjid di negeri itu yang akan menikmati skim gaji Gred S41 dengan tangga gaji permulaan kira-kira RM2,500. Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata pengurus masjid yang akan bertugas sepenuh masa itu berbeza dengan nazir yang menerima lantikan secara kontrak selama tiga tahun dan hanya menerima elaun RM200 sebulan. Katanya, JAIS sudah mengemukakan cadangan yang dijangka dilaksanakan mulai 2012 itu kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan pihak MAIS secara dasarnya bersetuju dengan langkah yang dicadangkan.
Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengatasi masalah nazir masjid yang gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka, termasuk isu menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik.
“Sebagai permulaan, pengurus masjid akan dilantik di Masjid Diraja dan daerah terlebih dulu untuk dinilai keberkesanannya sebelum ia diperluaskan ke seluruh negeri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu purata 30 anggota jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Selangor termasuk nazir, bendahari dan imam meletak jawatan setiap bulan disebabkan tiada persefahaman sesama mereka.
Katanya, perkara itu mungkin berpunca daripada rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap pemilihan AJK yang dibuat menerusi mesyuarat agung atau berhubung pelaksanaan projek, sumbangan serta ketiadaan kerjasama antara mereka menyebabkan ada yang menjalankan tugas orang lain.
Sebelum ini, seramai 15 nazir masjid di Selangor turut diberi amaran keras kerana mengingkari arahan melarang mana-mana pihak menggunakan masjid di negeri itu sebagai tempat berpolitik khasnya oleh parti politik.
Mohammed Khusrin berkata, ketika ini nazir di negeri itu dilantik secara sambilan daripada pelbagai latar belakang pekerjaan menyebabkan mereka gagal memberi tumpuan untuk menguruskan masjid kerana sibuk dengan pelbagai urusan.
Ada dikalangan mereka mempunyai pelbagai tugas lain sehingga tidak dapat menumpukan tugas sebagai nazir yang diamanahkan kepada mereka.
“Kontrak lantikan semua nazir di Selangor ketika ini ialah sehingga 2012. Jadi, selepas tamat tempoh kontrak itu dan jika semuanya berjalan lancar, lantikan seorang pengurus masjid akan dibuat.
“Singapura sudah lama mempraktikkan kaedah ini dan ia terbukti berkesan. JAIS berpendapat kita mesti cuba kaedah ini di negara kita dan kalau ia berjaya Selangor menjadi negeri pertama melantik pengurus masjid di negara ini selain dapat memantapkan fungsi masjid,” katanya
Wednesday, August 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment