Tuesday, August 3, 2010

25 projek pembetungan siap hujung tahun

2010/08/04
PUTRAJAYA: Sebanyak 25 projek pembetungan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang membabitkan peruntukan sebanyak RM274.5 juta menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dijangka disiapkan menjelang hujung tahun ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin, berkata 25 projek itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 63 projek sepanjang RMKe-9 yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM3.53 bilion. Katanya, sehingga Jun lalu, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan sudah membelanjakan RM2.97 bilion daripada semua peruntukan berkenaan. "Daripada 63 projek itu, 25 akan siap penghujung tahun ini manakala sembilan lagi akan disambung dalam RMKe-10," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama warga kementerian dan agensi di sini, semalam.

Katanya, antara projek pembetungan utama dalam RMKe-9 yang siap ialah pembinaan 14 sistem pembetungan serantau merangkumi pembinaan 11 loji rawatan kumbahan di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perlis manakala tiga projek pembinaan loji rawatan enap cemar di Selangor, Melaka dan Kedah.

Beliau berkata, kira-kira enam juta penduduk akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan semua projek pembetungan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya berhadapan masalah pelaksanaan projek rangkaian paip pembetungan di Kuala Sawah, Seremban apabila kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan projek berkenaan.
"Kementerian memandang serius rungutan dan aduan penduduk kesan daripada projek terbengkalai ini. Justeru, kontraktor penyelamat sudah diarahkan untuk menyiapkan projek berkenaan," katanya.

Mengenai masalah bekalan air di Labuan, Chin berkata, pihaknya bercadang memproses sisa dari loji rawatan kumbahan di Ranca-Ranca, Labuan kepada air bersih untuk kegunaan industri bagi mengatasi masalah bekalan air di pulau itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih belum bercadang untuk menggunakan kaedah itu bagi kegunaan harian penduduk.

Kekurangan taburan hujan di Labuan sejak pertengahan 2009 menyebabkan masalah bekalan air di pulau itu bertambah serius dan bekalan ke kampus Universiti Malaysia Sabah di situ juga terjejas.

No comments:

Post a Comment