Monday, August 9, 2010

SPRM jalin kerjasama dengan dewan perniagaan

2010/08/10
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama dengan beberapa dewan perniagaan dan perdagangan di negara ini bagi membantu memperkukuhkan etika perniagaan dan tadbir urus yang baik di kalangan anggota pertubuhan berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, berkata selain Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), pihaknya kini pada peringkat perbincangan dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia serta Dewan Perniagaan dan Perdagangan India Malaysia. “Kesedaran mengenai risiko ditahan kerana memberi rasuah perlu disampaikan kepada pihak terbabit dalam bidang perniagaan dan perdagangan. Mereka juga perlu faham kesalahan yang dilakukan pemberi rasuah itu sama berat dengan pihak yang menerima. “Menerusi kerjasama strategik seumpama ini juga, sebarang sistem dan prosedur kerajaan yang membuka ruang kepada amalan rasuah akan diperincikan dan seterusnya disalurkan semula kepada kerajaan untuk tujuan penambahbaikan,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dengan ACCCIM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini, semalam.

MoU itu ditandatangani Abu Kassim yang mewakili SPRM, manakala ACCCIM pula diwakili Presidennya, Tan Sri William Cheng Hen Jem.

Abu Kassim berkata, usaha seperti ini dirangka untuk memastikan persekitaran perniagaan tanpa rasuah diwujudkan, keuntungan jangka panjang dapat dinikmati, nilai kejujuran, integriti dan menyemai sikap bertanggungjawab.

Beliau berkata, antara Januari 2009 hingga Jun lalu, SPRM menerima 2,217 maklumat mengenai rasuah membabitkan sektor swasta, perniagaan dan perindustrian.
“Daripada jumlah itu, 233 kertas siasatan dibuka dan 136 ditahan dengan 44 daripadanya dituduh atas kesalahan rasuah,” katanya.

Mengenai MoU dengan ACCCIM, beliau berkata, suruhanjaya itu berharap ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah dalam pertubuhan di bawah naungan ACCCIM dapat ditutup dan dicegah.

“SPRM juga sedia membantu ACCCIM dan ahlinya membangunkan Integriti Pack dalam urusan perolehan dan bekerjasama dengan memberi latihan kemahiran,” katanya.

Sementara itu, Cheng mahu kerajaan memberi perhatian kepada pegawai yang bertanggungjawab meluluskan sebarang permohonan projek atau pemberian tender bagi mengelak amalan rasuah dalam sektor awam.

“Jika ada kes yang dikenal pasti pula, sepatutnya pejabat Peguam Negara bertindak mempercepatkan kes itu dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment