Monday, August 9, 2010

Projek MSAFE diperluas ke 39 PBT

2010/08/10
PUTRAJAYA: Projek perintis MSAFE atau Malaysia Selamat di Putrajaya dan Cyberjaya akan diperluaskan ke seluruh negara dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor swasta sebagai strategi bersepadu membanteras jenayah jalanan secara lebih berkesan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan 39 PBT setakat ini untuk bekerjasama meningkatkan keselamatan kawasan setempat dan 149 PBT lagi dalam perbincangan. Selain itu, katanya, sebanyak 26 pemaju perumahan pula sudah menghubungi kementerian untuk membangunkan hartanah dengan menggabungkan konsep bandar selamat itu. “Tumpuan saya seterusnya ialah pelaksanaan konsep bandar selamat bagi Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di mana kita turut menggalakkan pembabitan Singapura,” kata beliau pada sidang media selepas majlis pelancaran MSAFE oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, di sini, semalam.

Hadir sama, pada majlis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya itu ialah Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM), Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa.

Projek MSAFE Putrajaya dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Kementerian Dalam Negeri, polis serta Perbadanan Putrajaya manakala TM bertindak selaku pengendali Sistem Respons Kecemasan Malaysia (MERS 999) dan Sistem Respons Kecemasan Nasional.

Ia merangkumi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan pemetaan digital, yang membolehkan Pusat Kawalan Perbadanan Putrajaya dan pegawai polis mengendalikan kedua-dua sistem itu melihat secara langsung kejadian atau insiden yang dilaporkan serta mengambil tindakan bersesuaian.
MSAFE Putrajaya pada dasarnya mengintegrasi sistem MERS 999 dengan kamera litar tertutup (CCTV), GIS dan pemetaan digital, sekali gus mewujudkan pusat pemantauan bersepadu menepati konsep bandar pintar dan selamat.

Hishammuddin berkata, pemaju yang melabur antara RM1.5 juta hingga RM2.5 juta bagi menambah baik ciri keselamatan hartanah mereka, umpamanya di Ara Damansara, dapat meningkatkan harga jualan rumah kerana pembeli menilai aspek keselamatan yang ditawarkan.

Malah, katanya, pemaju seperti Sime Darby mahu menggunakan konsep MSAFE di 10 lagi kawasan perumahan yang dibangunkan mereka kerana yakin dengan nilai tambah dalam aspek keselamatan, sekali gus memastikan kadar jenayah kawasan setempat berkurangan.

Rais pula berkata MSAFE, yang menggabungkan penggunaan CCTV kepada MERS 999, memantapkan lagi operasi empat pengendali perkhidmatan kecemasan iaitu pihak polis, bomba dan penyelamat, hospital serta Pertahanan Awam, yang mana masa tindak balas dapat disingkatkan sehingga 10 minit selepas sesuatu panggilan kecemasan diterima.

Katanya, MSAFE Putrajaya dibangunkan dengan kos RM2.2 juta, lebih kurang sama dengan MSAFE Cyberjaya dan RM344 juta diperuntukkan bagi memperluaskan MSAFE ke seluruh negara dengan menggunakan dua projek perintis itu sebagai asas.

No comments:

Post a Comment