Sunday, August 15, 2010

Perbanyak koperasi edar, jual barang di pedalaman

2010/08/16
KUCHING: Kerajaan sedang mengkaji untuk melantik lebih banyak koperasi yang beroperasi di Sarawak bagi mengedar dan menjual barangan keperluan ke kawasan pedalaman negeri ini sebagai langkah untuk mengurangkan beban kewangan masyarakat itu membeli barangan keperluan harian.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, 286 peruncit dan 26 pengedar dilantik setakat Jun 2010 untuk ‘Projek Pengedaran Barang Perlu’ membabitkan 104 kawasan pengedaran di Sarawak, dengan satu koperasi iaitu Koperasi Kampung Bunan dalam mengedarkan barangan keperluan di Serian. “Cadangan untuk membabitkan lebih banyak lagi koperasi dalam projek ini sedang diteliti,” katanya di sini, semalam. Rohani berkata, selain di Serian, kerajaan mengkaji kemungkinan melantik Koperasi Song Kapit untuk mengedarkan barangan keperluan di daerah Song.
Selain barangan keperluan, Rohani berkata, di bawah ‘Projek Penyeragaman Harga’ gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 410 peruncit dan 43 pengedar dilantik yang membabitkan 115 kawasan di Sarawak.

“Pada ketika ini, kita cuba memperluaskan semua kawasan luar bandar di Sarawak bagi memastikan tidak ada kawasan yang terlepas dalam projek ini,” katanya.

Bagi meningkatkan lagi keberkesanan projek itu supaya masyarakat pedalaman tidak dibebani harga barangan keperluan yang tinggi, beliau berkata kerajaan meletakkan syarat bagi pembekal dan pengedar dalam ‘Projek Pengedaran Barang Perlu.’ – BERNAMA

No comments:

Post a Comment