Wednesday, August 18, 2010

Sultan Kedah cadang UUM wujudkan institusi penyelidikan pengurusan masjid

2010/08/19
SINTOK: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mencadangkan supaya Universiti Utara Malaysia (UUM) mewujudkan institut penyelidikan bagi pengembangan pengurusan masjid moden.

Titah baginda ia amat penting untuk meningkatkan kedudukan masjid sebagai institusi utama dalam masyarakat Islam di negeri ini dan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.
Baginda juga menyeru pihak jawatankuasa masjid supaya lebih terbuka melalui kepelbagaian dakwah kontemporari. "Ada kalanya jawatankuasa masjid masih terikat dengan gaya pengurusan lama dan kurang menerima idea baru yang dilontarkan generasi baru walaupun ia tidak bersalahan dengan metodologi dakwah," titah baginda pada Majlis Pemasyuran Masjid Bukit Kachi dan Majlis Berbuka Puasa bersama pihak pengurusan UUM dan mahasiswa dekat sini, malam tadi.

Hadir sama, Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun dan Tengku Panglima Besar Kedah, Datuk Seri Tengku Puteri Intan Syafinaz.

Masjid Bukit Kachi yang beroperasi pada 18 Oktober 2002 berkeluasan 1,144.2 meter persegi menelan kos sebanyak RM3 juta dan boleh menampung 4,500 orang jemaah pada satu-satu masa.

Titah baginda, pihak pengurusan masjid perlu mengadakan aktiviti berbentuk riadah yang dapat menarik minat belia.
"Aktiviti sebegini adalah satu bentuk program yang benar-benar menarik minat belia dan adalah ruang-ruang dakwah yang boleh diisi dengan pengisian rohani di samping beriadah," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Canselor UUM bertitah pihak masjid perlu lebih memahami keperluan untuk mewujudkan ruang yang lebih terbuka khususnya dalam menyediakan pengisian untuk anak-anak muda ke masjid.

"Masjid perlu dipastikan bertindak proaktif supaya sentiasa relevan dengan perubahan masa dan institusi masjid harus dibangunkan supaya dapat menjadi nadi utama dalam jalinan pembangunan dan khidmat masyarakat di seluruh negara," katanya.

No comments:

Post a Comment