Thursday, August 12, 2010

Kerajaan digesa kaji beri guru kuasa polis tambahan

Oleh Syuhada Choo Abdullah

2010/08/12
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengkaji semula cadangan untuk memberikan kuasa polis tambahan kepada guru disiplin di sekolah yang pernah disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada 1997.

Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran (KONGRES), Jemale Paimen, berkata peruntukan kuasa polis tambahan kepada guru disiplin adalah relevan dengan perkembangan gejala disiplin pelajar sekolah yang kian serius akibat penularan pengaruh kumpulan samseng. Katanya, dengan adanya kuasa polis tambahan, peranan guru disiplin akan lebih digeruni pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius, di samping guru sendiri akan berasa lebih yakin untuk melaksanakan tanggungjawab berat mereka itu. Saya akan berusaha membangkitkan perkara ini dalam perjumpaan kesatuan guru dengan Ketua Pengarah Pelajaran tidak lama lagi, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Cadangan memberikan kuasa polis tambahan kepada guru disiplin menjadi tumpuan ramai selepas Najib mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor pada 1997 bagi membincangkan isu masalah sosial dalam kalangan pelajar sekolah.

Laporan akhbar ketika itu memetik Najib sebagai berkata dengan adanya kuasa polis tambahan, guru disiplin boleh bertindak sama seperti seorang anggota polis, termasuk menahan pelajar yang terbabit dalam kegiatan bertentangan undang-undang.

Guru juga akan dilindungi undang-undang serta tidak boleh disaman bagi setiap tindakan yang dilakukan di sekolah. Bagaimanapun, kuasa itu terhad bagi kawasan tertentu, iaitu di sekolah saja seperti termaktub dalam Akta Polis 1967.
Sebelum ini, ada guru disiplin takut untuk bertindak kerana bimbang pelajar terbabit akan mengambil pelbagai tindakan seperti memukul atau mencalarkan kereta guru, kata Najib.

Terbaru, isu sama berbangkit apabila Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng dalam satu kenyataan, kelmarin, mahu guru yang menangani masalah disiplin sekolah diberi perlindungan keselamatan ekoran tindakan agresif segelintir pelajar yang berani mencederakan guru, terutama wanita.

NUTP menerima aduan mengenai kereta guru dicalar serta dikemekkan pelajar, dan kos baik pulih terpaksa ditanggung guru sendiri. Akhirnya, guru tidak berani bertindak kerana tiada pembelaan dan yang rugi adalah pelajar lain, kata Lok.

No comments:

Post a Comment