Monday, August 2, 2010

Denda RM5 juta, penjara 10 tahun

KUALA LUMPUR 2 Ogos 2010 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yakin pengusaha kopitiam tidak akan berani lagi mempamerkan sijil dan logo halal tidak sah apabila kerajaan memperkenalkan undang-undang baru yang lebih berat hukumannya.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini, akan membolehkan hukuman lebih berat itu dikenakan jika syarikat yang memiliki kopitiam terbabit dan pihak-pihak lain berterusan mengulangi kesalahan sama.

''Akta sedia ada hanya mengenakan hukuman ringan iaitu denda sehingga RM100,000 bagi individu, manakala bagi syarikat denda maksimum RM250,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

''Dengan pindaan tersebut, hukuman ini akan dinaikkan kepada RM500,000 untuk individu dan RM1 juta kepada syarikat atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

''Jika kesalahan ini diulangi, pihak berkenaan akan didenda sehingga RM1 juta bagi individu dan RM5 juta bagi syarikat atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 pada sidang Dewan Negara hari ini.

Mengulas jaminan syarikat Bahtera Lagenda Sdn. Bhd. baru-baru ini untuk menyelesaikan proses pemberian status halal dalam tempoh selewat-lewatnya sebulan, Ismail Sabri menjelaskan, syarikat swasta tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sijil dan logo halal berkenaan selepas APD 1972 dipinda.

''Selepas pindaan ini, hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri yang berkuasa berbuat demikian dan pengesahan halal yang dikeluarkan syarikat swasta tidak akan diiktiraf oleh kerajaan," jelasnya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan tidak akan melaksanakan cadangan pelbagai pihak sebelum ini supaya pengeluaran sijil dan logo halal digantikan dengan sijil dan logo tidak halal kerana menghadapi masalah dari segi pelaksanaan.

''Jika ini dilakukan maka sijil dan logo halal tidak lagi dikeluarkan kerana semua barangan yang dijual di negara ini dianggap halal kecuali yang mempunyai sijil dan logo tidak halal.

''Pelaksanaan langkah ini akan menyebabkan semua hotel dan restoran Jepun akan dikategorikan sebagai tidak halal kerana ia menghidangkan arak dan ini akan menyusahkan umat Islam apabila mereka dilarang sama sekali mengunjunginya," ujar beliau.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 diluluskan hari ini selepas dua hari dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Negara.

Rang undang-undang itu bertujuan melindungi pengguna daripada terma tidak adil dalam sesuatu kontrak yang biasanya memihak atau menguntungkan pihak yang menyediakan terma berkenaan.

Kebiasaannya kontrak yang mempunyai terma tidak adil melibatkan perjanjian melanggan perkhidmatan talian telefon, saluran televisyen, perkhidmatan Internet, keahlian pusat kesihatan atau gimnasium, tiket tempat letak kereta dan agensi pekerjaan.

Rang undang-undang itu akan memperkenal Jawatankuasa Pengiklanan untuk memantau dan menentukan kesahihan dan integriti maklumat diberikan oleh iklan berkenaan

No comments:

Post a Comment