Monday, June 28, 2010

Pengairan padi dipermoden

Oleh Minarni Mat Saad

2010/06/29
MENAIK taraf sistem pengairan adalah salah satu program permodenan pengairan padi yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk meningkatkan kecekapan sistem pengairan ke arah menyediakan bekalan air kepada petani mengikut masa, tempat dan kuantiti diperlukan.

Sehubungan itu, beberapa projek menaik taraf sistem pengairan dilaksanakan di beberapa kawasan di seluruh negara bagi membolehkan petani mendapat bekalan air mencukupi ke sawah masing-masing seterusnya dapat meningkatkan hasil tani. Projek menaik taraf sistem pengairan di Skim Pengairan Sungai Manik, Perak yang membabitkan peruntukan RM68 juta adalah antara program permodenan pengairan sedang giat yang dilaksanakan. Kawasan Skim Pengairan Sungai Manik yang berkeluasan 6,318 hektar adalah satu daripada lapan jelapang padi negara. Skim pengairan ini mempunyai kemudahan sistem pengairan terdiri daripada 13.36km tali air utama, 51.23km tali air kedua dan 186.52km tali air ketiga.

Sumber air utama untuk kawasan pengairan ini adalah dari Sungai Batang Padang yang disalurkan melalui Ampang Jajar Sungai Manik dan sebuah rumah pam di Kampung Chikus.

Sebelum pelaksanaan projek menaik taraf ini, petani menghadapi masalah kehilangan air melalui resapan di sepanjang tali air tanah dan juga mendapan pasir yang berpunca daripada hakisan sepanjang tebing tali air.

Bagi mengatasi masalah itu, projek menaik taraf tali air tanah kepada tali air konkrit dilaksanakan dan projek ini juga meliputi kerja menaik taraf struktur kawalan pengairan dan juga jalan ladang bagi menyediakan kemudahan sistem pengairan yang lebih berkesan.
Projek itu mendapat perhatian Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang turun padang untuk melihat sendiri kemajuan projek berkenaan sambil menghadiri majlis perjumpaan bersama penduduk Skim Pengairan Sungai Manik, Daerah Hilir Perak, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Kawasan Pasir Salak, Dato Tajuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MOA, Dato Baharum Jani; Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Dato Shaarani Muhamad dan Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian, Dato Mohd Azhari Ghazalli.
Pada majlis itu Noh turut menerima memorandum masalah dihadapi pesawah jelapang padi Sungai Manik daripada wakil Ketua-Ketua Kampung Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik.

Noh berkata, kerajaan menerusi perunding dan kontraktor yang dilantik akan berusaha melaksanakan projek naik taraf infrastruktur pengairan ini dengan sebaiknya demi memastikan petani di kawasan itu mendapat faedah apabila projek itu siap.

Memang tidak dapat dinafikan dalam pelaksanaan sesuatu projek ada isu-isu yang timbul dan semua yang terbabit sama ada di pihak kerajaan, perunding, kontraktor dan juga petani sendiri harus bekerjasama dan berbincang supaya isu berbangkit dapat ditangani dengan baik, katanya.

Beliau berkata, kajian untuk menaik taraf skim ini dimulakan pada 2004 lagi oleh juruperunding dan pelaksanaan projek pembinaannya dimulakan pada 2008 menerusi lima pakej membabitkan kos RM68 juta.

Saya difahamkan bahawa Skim Pengairan Sungai Manik ini meliputi kawasan seluas lebih daripada 6,300 hektar meliputi kawasan Sungai Manik dan Labu Kubung. Di skim ini sudah pun ada tali air sepanjang lebih daripada 250km meliputi tali air utama, kedua dan ketiga, katanya.

Noh berkata, walaupun projek menaik taraf ini mengambil masa lebih tiga tahun untuk disiapkan, beliau berharap ia dapat memberi faedah kepada lebih 2,100 petani di sini yang ketika ini mendapat hasil purata di sekitar 3.5 tan sehektar dan disasarkan untuk meningkat kepada 6.5 tan sehektar.

Bagaimanapun, dengan adanya kemudahan infrastruktur yang dinaiktaraf ini saja bukanlah dapat menjamin peningkatan hasil seperti yang disasarkan, tetapi ia perlu disertakan dengan usaha daripada petani dengan mengamalkan amalan pengurusan air dan pertanian yang terbaik, katanya.

Justeru itu, kata beliau, kerajaan mahu melihat pembabitan petani dalam menguruskan bekalan air ke sawah secara terbaik dengan menggalakkan petani menubuhkan dan mengaktifkan Kumpulan Pengguna Air (KPA).

Dengan tertubuh dan aktifnya KPA ini, urusan bekalan air ke sawah akan lebih teratur dan menjimatkan dan petani boleh melaksanakan aktiviti penanaman secara teratur, katanya.

Sehubungan itu, Noh mengharapkan semua pihak yang terbabit dengan projek ini, terutama kontraktor, perunding dan penduduk dan petani memberikan kerjasama, sokongan padu dan komitmen yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan projek naik taraf ini.

Dengan terbina dan siapnya projek ini nanti disertakan dengan kesungguhan untuk mengusahakan sawah insya-Allah kita akan mendapat pulangan yang lebih baik menerusi peningkatan hasil padi, katanya.

Noh menjelaskan, kerajaan memberi tumpuan pada sektor pertanian dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan juga hasil pertanian lain dan sektor ini diberikan peruntukan yang lebih besar berbanding masa lalu.

Peruntukan yang lebih besar ini membuka ruang dan juga peluang kepada sektor ini untuk menjadi satu sektor yang moden dan dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada pertumbuhan ekonomi negara, di samping menjadi satu kaedah untuk membasmi kemiskinan penduduk luar bandar.

Kerajaan amat komited terhadap usaha memajukan sektor pertanian kerana sektor ini mempunyai masa depan yang cerah, walaupun berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran, katanya.

Jelas Noh, MOA memainkan peranan penting dalam menjana dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan manfaat daripada peningkatan ekonomi negara ini akan dirasai bersama menerusi peningkatan kualiti hidup dengan adanya pelbagai peluang untuk meningkatkan pendapatan.

Secara amnya, ujar beliau, negara masih lagi mengimport bahan makanan dan MOA berazam dan beriltizam untuk mengurangkan defisit imbangan dagangan agro-makanan yang sekarang ini hampir berjumlah RM1.2 bilion.

Katanya, salah satu program untuk mencapai matlamat mengurangkan defisit dagangan ini adalah menerusi program menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur pengairan dan saliran di kawasan penanaman padi.

Melalui langkah ini kecekapan bekalan pengairan akan meningkat dan keadaan ini jika disertakan dengan amalan pertanian yang baik oleh petani akan memberi ruang kepada peningkatan produktiviti dan penghasilan padi dan juga pendapatan petani dan peladang, katanya.

No comments:

Post a Comment