Thursday, June 17, 2010

Projek RM10j tingkat hasil tanaman padi

2010/06/18
Langkah naik taraf Skim Pengairan Lawang manfaatkan lebih 200 petani

SELARAS hasrat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran dan hasil padi negara, sistem pengairan dan saliran yang cekap dan sempurna adalah penting dalam sektor tanaman padi.

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengambil langkah menaiktarafkan Skim Pengairan Lawang bagi memastikan 23 sawah di kawasan itu mendapat bekalan air mencukupi. Walaupun sebelum ini ada tali air sepanjang 19 kilometer (km) di mana 2.1km adalah tali air konkrit dan selebihnya adalah tali air tanah, pesawah masih menghadapi masalah pengairan dan hanya dapat menanam padi sekali setahun dengan purata hasil yang rendah. Projek ini dijangka meningkatkan punca air dan sistem pengairan sedia ada, sekali gus membolehkan tanaman padi diusahakan dua kali setahun.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar ketika mengadakan perjumpaan bersama penduduk Skim Pengairan Lawang, semalam, berkata beliau amat berharap projek ini dapat memberi manfaat kepada lebih 200 petani berbanding sebelum ini hanya 83 petani yang mempunyai peluang bertanam.

Beliau menjelaskan, kerajaan melalui perunding dan kontraktor yang dilantik akan berusaha menaik taraf infrastruktur pengairan dan saliran di kawasan Lawang 1, 2 dan 3.

Bagi mengurangkan masalah banjir di kawasan ini, Noh berkata, sistem saliran akan diperbaiki seperti membersih Sungai Lawang, Sungai Jedok, Sungai Kelisar dan juga Sungai Alor Rotan.
Majlis perjumpaan yang berlangsung di PPK Lanas, Jedok, Kampung Batu Gajah itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Ahli Parlimen Jeli, Kelantan.

Noh berkata, projek menaik taraf Skim Pengairan Lawang adalah salah satu inisiatif dan komitmen Mustapa ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas sebelum ini.

“Saya diamanahkan untuk mengambil tugas ini selepasnya. Projek Menaiktaraf Skim Pengairan Lawang adalah salah satu inisiatif dan komitmen Datuk Seri Mustapa dalam membangunkan kawasan Parlimen dan tentu sekali beliau ingin melihat akan kejayaan projek pembangunan ini pada masa kini dan akan datang,” katanya.

Noh berkata, pucuk kepemimpinan negara memberi tumpuan lebih kepada sektor pertanian pada masa kini dengan menyalurkan peruntukan yang lebih besar bertujuan menjadikan sektor ini sebagai satu sektor yang moden dan dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada pertumbuhan ekonomi negara, di samping menjadi satu kaedah untuk membasmi kemiskinan penduduk luar bandar.

Katanya, kerajaan amat komited terhadap usaha memajukan sektor pertanian kerana sektor ini mempunyai masa depan yang cerah, walaupun berhadapan pelbagai isu dan cabaran.

“MOA adalah salah satu kementerian yang memainkan peranan penting dalam menjana dan meningkatkan ekonomi rakyat di luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara. Secara amnya, negara masih lagi mengimport bahan makanan dan kita berazam untuk mengurangkan defisit imbangan dagangan agro makanan, yang sekarang ini hampir berjumlah RM1.2 bilion,” katanya.

Beliau menjelaskan, salah satu program untuk mencapai matlamat mengurangkan defisit dagangan ini di bawah Dasar Pertanian Negara adalah melalui menaik taraf dan membaik pulih sistem infrastruktur pengairan dan saliran di dalam dan di luar jelapang padi.

Menerusi langkah ini, katanya, produktiviti atau penghasilan bahan makanan terutama padi dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih ekonomik, di samping meningkatkan pendapatan petani dan peladang.

“Selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran dan hasil padi negara, sistem pengairan dan saliran yang cekap dan sempurna adalah penting dalam sektor tanaman padi. Ketika ini Skim Pengairan Lawang hanya dapat ditanam padi sekali setahun dan dengan purata hasil yang rendah. Dengan meningkatkan punca air dan sistem pengairan sedia ada adalah dijangkakan tanaman padi dapat diusahakan sebanyak dua kali setahun,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan menyediakan kemudahan dengan harapan petani dibantu untuk meningkatkan hasil tanaman padi agar mendapat bekalan pengairan yang lebih sempurna dan lebih berjadual, di samping kemudahan mengurangkan kesan banjir.

Walaupun begitu, ujar beliau, kerajaan mahu melihat pembabitan petani dalam menguruskan bekalan air di sawah bendang dengan menggalakkan petani menubuhkan Kumpulan Pengguna Air (KPA) bagi membolehkan urusan bekalan air di sawah lebih teratur dan menjimatkan.

“Langkah ini juga membolehkan petani membuka lebih banyak kawasan yang tidak bertanam seterusnya mampu mencapai matlamat tanaman dua kali setahun dengan jadual tersusun.

“Dengan terbina dan siapnya projek menaik taraf kawasan Skim Pengairan Lawang ini seharusnya mendapat kemudahan prasarana dan infrastruktur yang sempurna dan lengkap. Saya percaya bahawa skim pengairan ini akan menjadi satu skim yang boleh mengeluarkan hasil yang tinggi pada masa akan datang dalam usaha membangunkan sektor pertanian agro makanan negara,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, keprihatinan Kerajaan Pusat membantu petani menaiktarafkan sistem pengairan di situ membolehkan petani menyelesaikan beberapa isu dan masalah yang sekian lama mereka hadapi seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau menjelaskan, projek ini sepatutnya siap pada April 2010 yang lalu, tetapi atas sebab tertentu pihak kontraktor memohon dilanjutkan ke November 2010.

“Oleh itu, perjumpaan ini diadakan bagi menjelaskan masalah yang timbul dan mendapatkan maklum balas daripada petani yang terbabit. Saya meminta hadirin bertenang dan berbincang dalam dengan baik dalam suasana harmoni untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik kepada permasalahan yang timbul,” katanya.

Mustapa berkata, beberapa KPA akan dibentuk di kawasan pengairan bertujuan menyelaraskan segala aktiviti pengurusan air, termasuk penyenggaraan sistem pengairan dalam kawasannya

No comments:

Post a Comment