Sunday, June 20, 2010

Baling, Sik pusat biak benih udang galah

2010/06/21
BALING: Jabatan Perikanan bercadang menjadikan daerah ini dan Sik sebagai pusat pembiakan benih udang galah bagi menampung keperluan industri akuakultur di negara ini, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata selain pusat pembiakan benih, dua daerah itu juga sesuai untuk kegiatan penternakan udang galah kerana ia mempunyai air sungai di kawasan pedalaman yang belum tercemar. Katanya, untuk tujuan itu Jabatan Perikanan akan menjalankan kajian terperinci bagi mengenalpasti kawasan sesuai bagi aktiviti itu. Beliau berkata, sebagai permulaan, jabatan itu akan melepaskan benih udang galah di beberapa sungai di dua daerah itu untuk melihat kesesuaiannya bagi membolehkan pembiakan hidupan itu g kini semakin berkurangan.

“Jika aktiviti penternakan dan pembenihan udang galah dilaksanakan ia mampu meningkatkan lagi kegiatan ekonomi penduduk setempat kerana udang galah mendapat pasaran tinggi di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penuaian dan Memperkasa Industri Ternakan Udang Galah di Kampung Luar, Siong, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan, Ahmad Sabki Mahmud dan Pengarah Jabatan Perikanan Kedah, Teo Siong Wan.

Mohd Johari berkata, dua daerah itu berpotensi dijadikan kawasan pengeluaran udang galah kerana mempunyai sumber bekalan air bersih belum tercemar.
Katanya, dua syarikat iaitu Era Bakti Akuakultur Sdn Bhd dan Ventures Aquaculture Sdn Bhd menguruskan projek ternakan udang galah di dua kampung di daerah itu setakat ini dan ia berpotensi dikembangkan.

Setakat ini, tanah terbiar seluas 60 hektar di Kampung Luar, di sini, dan Kampung Kerawai, Sik, sudah dimajukan dengan projek ternakan udang galah membabitkan 63 peserta daripada penduduk kampung.

Beliau berkata, projek dilaksanakan sejak dua tahun lalu itu mampu menambah pendapatan peserta dan secara keseluruhan mereka menerima dividen terkumpul lebih RM26,000 sejak dimulakan.

No comments:

Post a Comment