Thursday, June 17, 2010

RM200 juta bina kompleks pemulihan pekerja hilang upaya

2010/06/18
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membina kompleks pemulihan untuk pekerja yang hilang upaya bernilai RM200 juta di Alor Gajah, Melaka sebagai inisiatif membantu ahli.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata ia akan dibina di kawasan seluas 51 hektar yang dilengkapi segala kemudahan termasuk tenaga pakar dalam pelbagai bidang, khusus untuk ahli PERKESO yang terbabit dalam kemalangan atau hilang upaya untuk bekerja selepas menjalani perubatan. “Kompleks ini akan memberi latihan pemulihan kepada mereka seperti fisioterapi dan kaunseling. Matlamat kita agar mereka dapat kembali bekerja seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan enam mesin haemodialisis sumbangan PERKESO kepada MAA Medicare Charity Fund, di sini, semalam. Enam mesin itu akan adalah untuk MAA Medicare Charity Fund di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur; MAA Medicare Charity Fund Kajang dan MAA Charity Fund Kota Bharu, Kelantan bagi memudahkan orang berinsurans PERKESO menjalani rawatan dialisis.

Setakat ini PERKESO sudah melantik 102 pusat haemodialisis di seluruh negara dengan membelanjakan RM11.2 juta untuk pembelian 289 buah mesin haemodialisis.

Mengulas lanjut, Maznah berkata, kompleks pemulihan itu dijangka siap pada 2013 dan yang pertama dibina PERKESO dan Kementerian Sumber Manusia.

“Jika ada dana lebih, kami akan membina lebih banyak lagi kompleks sebegini. Ia akan bertindak seperti hospital dan bergantung kepada kes yang dirujuk kepada PERKESO.
“Program pemulihan ini dijalankan sejak 2007 dan setakat ini 794 kes diselesaikan dan mereka kembali bekerja seperti biasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menimbulkan kerisauan terhadap permohonan daripada penerima pencen ilat dan bukan ilat untuk mendapatkan rawatan dialisis.

“Permohonan untuk mendapatkan rawatan dialisis dikalangan ahli PERKESO semakin meningkat setiap tahun. 2008 kita menerima 3,820 kes dengan kos rawatan RM43.4 juta dan meningkat 23 peratus pada 2009 dengan kos rawatan RM53 juta.

“Tahun ini sehingga Mei sebanyak 4,895 kes diluluskan dengan kos rawatan sebanyak RM29 juta. Ini membimbangkan kerana ramai pekerja sakit buah pinggang. Saya berharap pihak berkenaan selidik kenapa rakyat Malaysia banyak menghidap penyakit buah pinggang.

“Ini bukan soal kos rawatan, tetapi lebih kepada kesedaran kesihatan rakyat Malaysia. Saya nasihatkan rakyat khususnya pekerja mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

No comments:

Post a Comment