Sunday, June 20, 2010

Pasukan khas pantau projek sakit

KOTA BHARU 20 Jun 2010 - Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau perkembangan semasa beberapa projek sakit di negeri ini yang mengalami kelewatan untuk disiapkan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara projek sakit tersebut adalah pembinaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik Jeli, Jalan Simpang Pulai - Loging - Gua Musang, Jalan Jeli - Jelawang, Jalan Pasir Puteh - Tok Bali, dan Jabatan Sultan Yahya Petra.

Jelas beliau, projek-projek terbabit perlu disiapkan dengan segera untuk memastikan pembangunan baru yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) tidak terganggu.

"Terdapat lima atau enam projek sakit di negeri ini yang perlu disiapkan secepat mungkin agar boleh digunakan dan dimanfaatkan rakyat," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga Jabatan Kesihatan Kelantan di sini pagi ini.

No comments:

Post a Comment