Tuesday, June 22, 2010

Johor: Lapan lagi balai polis bergerak di lokasi panas

2010/06/23
JOHOR BAHRU: Polis Johor menerima lapan lagi unit balai polis bergerak bernilai RM1,784,000, menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan itu kini 12 unit untuk ditempatkan di beberapa lokasi panas sekitar negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokthar Mohd Shariff, berkata tiga balai polis bergerak yang diterima adalah jenis bas mini Nissan berharga RM343,000 setiap satu manakala lima lagi adalah jenis van Toyota Hiace bernilai RM151,000 seunit. Katanya, balai polis bergerak jenis bas mini akan dikendalikan seorang pegawai dan sembilan anggota manakala jenis van dikendalikan seorang pegawai dan tiga anggota. Beliau berkata, dengan setiap kenderaan diubah suai untuk memuatkan kelengkapan peralatan seperti set jana kuasa, komputer riba, mesin cetak dan internet jalur lebar, ia memudahkan orang ramai membuat laporan polis selain menerima maklumat dengan lebih pantas.

"Penambahan balai polis bergerak ini akan menambah lagi kehadiran kami sekali gus meningkatkan keyakinan dan keselesaan masyarakat terhadap polis dalam memastikan keselamatan mereka terjamin khususnya di kawasan tumpuan ramai," katanya pada Majlis Penyerahan Balai Polis Bergerak itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, kelmarin.

Kenderaan itu dijangka ditempatkan di kawasan panas atau kerap berlaku jenayah iaitu pusat bandar Muar, Taman Setia Indah, Taman Ungku Tun Aminah, pusat bandar Kluang, pusat bandar Batu Pahat, Kulaijaya, Masai dan pusat bandar Johor Bahru.

Sebelum ini, polis Johor menerima lima unit balai polis bergerak jenis van dan sudah digerakkan di beberapa kawasan dikenal pasti bagi kemudahan orang ramai, termasuk Pelangi Indah, Tampoi, Bukit Indah dan Johor Jaya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar turut mengumumkan sejak Januari hingga 20 Jun tahun ini, kadar jenayah di negeri ini menurun sebanyak 21.05 peratus iaitu kepada 9,965 kes berbanding 12,622 kes dalam tempoh sama tahun lalu

No comments:

Post a Comment