Sunday, June 20, 2010

Naik taraf Jalan Kuantan-Segamat jadi keutamaan

2010/06/21
ROMPIN: Usaha menaik taraf Jalan Kuantan-Segamat akan diutamakan Kementerian Kerjaraya dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) berikutan kejadian kemalangan maut yang kerap berlaku di jalan itu.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata langkah itu perlu disegerakan bagi mengelak lebih banyak kemalangan maut berlaku di jalan yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Tun Razak yang dibina sekitar 70-an sepanjang 147 kilometer itu. “Kementerian sudah membuat kajian mengenai usaha menaik taraf jalan berkenaan dan memang ada keperluan dipertingkatkan kerana statistik pengguna meningkat sekarang berbanding ketika mula dibuka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rompin di sini, semalam. Katanya, cadangan menaik taraf jalan itu dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi.

Pada 17 Jun lalu, lima sekeluarga terbunuh dan tiga lagi cedera parah apabila kenderaan pelbagai guna yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Km 87 jalan berkenaan.

Seminggu sebelum itu, enam sekeluarga terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Km 78.

Selain itu Shaziman berkata, pihaknya juga meneliti keperluan membina Jalan Kuantan-Bahau-Serting di dalam RMKe-10 bagi memberi pilihan kepada pengguna, terutama di Rompin dan Pekan untuk ke Bahau, Serting dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan tanpa melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Mengulas perkembangan projek LPT fasa kedua (LPT2), beliau berkata, projek itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual berikutan beberapa masalah seperti kelemahan kontraktor dan kenaikan harga barang binaan yang memperlahankan perjalanan projek.

Mengikut jadual asal, LPT2 yang bernilai RM3 bilion sepanjang 190 km dari sempadan Pahang hingga ke Kampung Gemuruh, Terengganu, siap tahun depan, namun disebabkan masalah berkenaan ia dijangka siap pada 2012. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment