Thursday, June 24, 2010

Benarkan pelajar buat pembayaran berjadual

KUALA LUMPUR 24 Jun 2010 - Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) digesa membenarkan seseorang pelajar baru yang tidak berkemampuan melakukan pembayaran yuran pengajian secara berperingkat-peringkat atau berjadual.

Pengerusi Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Datuk Suhaimi Shahadan berkata, langkah itu boleh dilakukan dengan memberikan sedikit kelonggaran mengikut kriteria dalam soal pembayaran yuran berkenaan apabila mereka melakukan pendaftaran masuk ke institusi-institusi pengajian tersebut.

"Saya menggesa IPTA dan IPTS bersikap terbuka serta menjalankan tanggungjawab sosial korporat dengan bersedia memberikan kelonggaran seumpama itu terhadap pelajar-pelajar ketika mereka mendaftar bagi memulakan pengajian," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam yang menyatakan pelajar baru universiti dan politeknik yang kurang berkemampuan boleh menanggungkan pembayaran yuran pengajian bagi sesi kemasukan yang bermula pada 3 dan 4 Julai ini.

Suhaimi yang juga Exco Pemuda UMNO turut menyarankan agar semua IPTA dan IPTS bersikap proaktif terhadap saranan Mohamed Khaled bagi membolehkan pelajar miskin dan ibu bapa yang kurang berkemampuan boleh menghantar anak ke IPT tanpa menjadikan masalah kewangan sebagai satu alasan.

"Bagi KPTM, saya telah mengarahkan Rektor untuk mewujudkan unit khas 'KPTM Prihatin' agar dapat menangani dan memberi perhatian terhadap kes-kes khas ini.

''Di KPTM sendiri telah membenarkan pelajar memulakan pembelajaran kerana kes-kes seperti ini kurang daripada 10 peratus,'' katanya.

Selain itu, dalam kenyataannya, Suhaimi juga menggesa, agensi-agensi pembiayaan pinjaman berusaha mempercepatkan proses untuk menyelesaikan tuntutan pinjaman pelajar di peringkat pengajian tinggi .

''Birokrasi dan proses kelulusan yang lambat hanya akan membantutkan urusan pentadbiran dan menyusahkan pelajar,'' kata beliau

No comments:

Post a Comment