Thursday, June 17, 2010

Keluarga miskin tegar diberi saham ASW

Sebahagian penerima bantuan sewa rumah keluarga miskin tegar di Johor Bahru, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 17 Jun - Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan mendaftarkan semua ketua isi rumah yang layak untuk diberi unit Amanah Saham Wawasan (ASW) bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, ia akan dilakukan dengan kerjasama Amanah Saham Nasional Berhad dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan.

Katanya, sebahagian daripada mereka telah pun didaftarkan dengan di negeri ini sahaja, seramai 241 daripada 329 ketua isi rumah yang dikenal pasti layak telah pun menerimanya.

"Saya berharap pencapaian ini dapat ditingkatkan kerana faedah yang diperoleh daripada pelaburan berkenaan akan menyumbang kepada pendapatan keluarga," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Sewa Rumah untuk Golongan Miskin Tegar Bandar, di sini malam tadi.

Pada majlis itu, kementerian berkenaan memperuntukkan RM260,400 berupa bantuan sewa rumah selama setahun kepada 175 keluarga miskin tegar di sekitar Johor Bahru.

Para penerima terdiri daripada penduduk di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Raja Nong Chik berkata, pada tahun ini program pembasmian kemiskinan bandar akan terus dimantapkan lagi dengan program-program khusus bagi memastikan matlamat kemiskinan tegar sifar dapat dicapai.

Beliau berkata, pihaknya bersedia membantu golongan miskin yang berkelayakan mendapatkan peralatan perniagaan bagi membolehkan mereka berusaha menjana pendapatan sekali gus mengubah kehidupan keluarga.

"Walaupun program pembasmian kemiskinan bandar lebih bertumpu kepada memberi bantuan berupa kemahiran bagi memudahkan golongan sasar mendapatkan pekerjaan tetapi pihak kementerian akan tetap menyalurkan bantuan sewa rumah kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata, pihak kementerian akan terus bekerjasama dengan PBT yang berkaitan bagi memastikan program pembasmian kemiskinan bandar yang dilaksanakan mencapai sasaran dan berjalan dengan sempurna.

Katanya, semua PBT yang terlibat memberikan kerjasama dan sokongan yang positif bagi memastikan sasaran kerajaan membasmi kemiskinan tegar di negara ini dapat dicapai sepenuhnya.

"Mengikut rekod kemiskinan bandar daftar e-Kasih, hingga kini terdapat 62 keluarga miskin tegar dan 812 keluarga miskin di Johor.

"Saya ingin menyarankan agar PBT mengemukakan kepada pihak kementerian cadangan program yang dapat dilaksanakan bagi membantu meningkatkan pendapatan keluarga miskin ini, sekali gus dapat mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan," katanya

No comments:

Post a Comment