Thursday, June 17, 2010

Skuad jalur lebar bantu pelanggan

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my



Rais Yatim memegang Ikon BB selepas pelancaran Program Kesedaran dan Promosi Jalur Lebar Nasional semalam. Turut hadir (dari kiri) Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Khalid Ramli serta Maglin Dennis D'Cruz dan Joseph Salang Gandum. - BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 17 Jun - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mewujudkan skuad jalur lebar bagi membantu pengguna menyelesaikan masalah berkaitan perkhidmatan itu di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, anggota skuad tersebut terdiri daripada pakar-pakar teknologi maklumat (IT) dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan syarikat-syarikat telekomunikasi (telco).

Katanya, skuad yang dipantau sepenuhnya oleh kementerian itu akan bertindak memberi perkhidmatan bantuan kepada semua pelanggan jalur lebar menerusi aduan yang diterima oleh SKMM, TM atau mana-mana syarikat telco.

''Skuad kita menyeluruh. Maka, jika masalah yang dihadapi oleh pelanggan menjurus kepada TM kita akan hantar skuad TM yang terdekat untuk menanganinya.

''Misi kita adalah untuk memuaskan hati pengguna, justeru maklum balas pengguna amat diharapkan tidak kisah jika ia berbentuk aduan atau kritikan. Dengan langkah itu mutu kualiti penggunaan jalur lebar dapat ditingkatkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program kesedaran dan promosi jalur lebar nasional di sini hari ini.

Hadir sama kedua-dua Timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf.

Rais berkata, dalam usaha kementerian memastikan talian perkhidmatan jalur lebar sedia ada ditingkatkan kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), SKMM menerusi skuad itu akan membuat pemasangan pusat akses talian terutama di kawasan pinggir dan luar bandar.

Jelasnya, pusat akses itu akan dipasang di premis tertentu seperti sekolah bagi membantu pengguna jalur lebar di sekitar kawasan itu menikmati talian Internet dengan kadar kelajuan yang lebih tinggi iaitu kira-kira empat megabit sesaat (Mbps).

Mengenai kajian kerajaan untuk mengurangkan bayaran perkhidmatan jalur lebar kepada pelanggan sekitar RM20 hingga RM25, kata beliau, perkara itu masih di peringkat kajian oleh SKMM.

Menurutnya, kerajaan harus berbincang dengan syarikat-syarikat telco seperti Maxis, Celcom dan Digi terlebih dahulu berikutan syarikat-syarikat itu juga mempunyai caj-caj tersendiri.

''Untuk meletakkan caj yang sama rata dengan syarikat-syarikat telco itu adalah mustahil kerana tentunya mereka mempunyai caj yang tersendiri.

''Paling mustahak dalam kajian itu ialah kita mahu caj yang dikenakan mesti munasabah dan mampu ditanggung oleh semua masyarakat. Jika RM48 ke atas itu memang mahal, paling mampu ialah RM20 hingga RM25,'' jelas beliau.

Terdahulu, berkenaan sasaran kerajaan untuk mencapai 50 peratus penembusan jalur lebar isi rumah pada akhir 2010, beliau berkata, pihaknya yakin perkara itu dapat dicapai.

No comments:

Post a Comment