Friday, July 9, 2010

S'gor perkenal 'LayaRakyat' salur maklumat pada rakyat

Jul 9, 10 3:56pm

Kerajaan Selangor kini menggunakan pendekatan baru yang menggabungkan tayangan video penerangan dasar kerajaan negeri dengan kaunter Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi menyampaikan maklumat mengenai produk MES kepada orang ramai.


Program yang dinamakan 'LayaRakyat' ini bakal fokus di tapak pasar malam kawasan luar bandar dalam negeri Selangor.

'Tumpuan lokasi pertama adalah di pasar malam Daerah Sabak Bernam, mulai 6 sehingga 24 Julai, jam 7 malam hingga ke 9 malam," kata pengarah penerangan Selangor, Dr Badrul Amin Baharom.

Menurutnya, pihak urusetia akan menayangkan video di atas layar putih mengenai dasar kerajaan negeri, membuka kaunter pendaftaran serta penerangan program Merakyatkan Ekonomi Selangor, khususnya Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Mesra Usia Emas dan Hadiah Anak Masuk IPT.

“Kaedah ini membolehkan maklumat dasar kerajaan negeri disampaikan kepada masyarakat umum dengan tepat dan cepat, serta menggalakkan orang ramai mengambil bahagian secara aktif dalam setiap program kebajikan yang dijalankan,” katanya,

Dr Badrul Amin menegaskan demikian ketika melancarkan projek LayaRakyat di pasar malam Sungai Besar Selasa lalu.

Menurutnya, pendaftaran Tabung Warisan Anak Selangor kini dibuka kepada anak kelahiran di sempadan seperti Selangor-Perak, Selangor-Negeri Sembilan dan Selangor-Wilayah Persekutuan.

Manakala ibu bapa yang bermastautin selama lima tahun di daerah yang bersempadan Selangor, juga layak memohon untuk mendaftar bayi mereka.

Dr Badrul Amin berkata, Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim amat prihatin terhadap kebajikan rakyat Selangor.

"Pelbagai program rakyat telah dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin, khususnya golongan miskin, di mana hasil negeri dapat dinikmati oleh rakyat.

“Oleh itu program LayaRakyat turun ke padang bertemu dengan rakyat agar rakyat dapat memahami dasar-dasar kerajaan negeri dengan baik.

'Program ini akan dilaksanakan secara berterusan di daerah-daerah lain selepas ini,” tegas Badrul.

Beliau berharap agar rakyat dapat memberikan sokongan berterusan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir Selangor.

No comments:

Post a Comment