Friday, July 16, 2010

Permainan siber subjek sekolah

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my



AHMAD Shabery Cheek memetik gitar sebagai gimik merasmikan Permainan Siber Dunia (WCG) 2010 peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 16 Julai - Kementerian Belia dan Sukan mencadangkan permainan siber diperkenalkan sebagai salah satu subjek pembelajaran untuk sekolah rendah dan menengah.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu selaras dengan kemajuan era teknologi dan siber di seluruh dunia serta termasuk untuk industri kreatif di negara ini yang sedang berkembang.

Kata beliau, permainan siber yang akan diserap dalam subjek itu bagaimanapun mesti mempunyai beberapa nilai tambah yang berteraskan pendidikan.

''Permainan siber tidak semestinya negatif. Ia merupakan satu kaedah untuk meningkatkan daya ketahanan mental agar lebih cekap dan pantas.

''Perkara ini perlu diberi perhatian. Kementerian melihat perkara ini penting kerana sudah tiba masa untuk anak-anak belajar dalam keadaan yang menyeronokkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Permainan Siber Dunia (WCG) 2010 peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), Shaifubahrim Saleh.

Ditanya mengenai kesan negatif dalam sesuatu permainan siber yang ada kalanya berkonsepkan keganasan, Ahmad Shabery berkata, tidak dinafikan ia akan wujud tetapi pemantauan guru dan ibu bapa amat diperlukan.

''Sukar untuk kita kawal pelajar daripada tidak terlibat dengan permainan berbentuk keganasan tambahan dunia teknologi maklumat semakin berkembang, paling penting adalah bagaimana penjaga mencorakkan anak-anak mereka supaya tidak cenderung ke arah itu," kata beliau.

WCG 2010 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Pameran Mid Valley itu mempertandingkan sebanyak enam permainan siber untuk 500 peserta.

Enam permainan itu ialah Counter Strike 1.6, Warcraft 3: The Frozen Throne, Starcraft: Brood War, FIFA 10, Tekken 6 dan Guitar Hero 5. Counter Srike merupakan satu-satunya permainan yang melibatkan satu pasukan dengan lima orang pemain.

Pasukan yang akan memenangi tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan lima buah Acer Netbook, Left 4 Dead Game Box, hamper dan pingat, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan RM2,000 beserta produk lain.

Tidak ketinggalan, juara Warcraft 3: The Frozen Throne dan FIFA 10 akan berpeluang untuk mewakili Malaysia dalam acara e-Sukan Olympics dunia iaitu peringkat akhir WCG di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 30 September hingga 3 Oktober ini

No comments:

Post a Comment