Thursday, July 8, 2010

Rang Undang-undang Perbadanan Stadium Malaysia dibentang

2010/07/08
KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Perbadanan Stadium Malaysia 2010 bagi pembentukan badan yang bertanggungjawab membangun dan mengurus stadium, kompleks sukan dan kemudahan sukan di negara ini, dibentangkan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Fungsi Perbadanan Stadium Malaysia antara lain untuk mempromosikan stadium di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagai suatu tempat serbaguna bagi acara sukan, rekreasi, kebudayaan, pendidikan, komersial, hiburan dan acara lain. Perbadanan itu juga mempunyai kuasa untuk menjalankan aktiviti berhubung dengan penyelidikan dan pembangunan aktiviti, perkhidmatan dan perkara lain yang berkaitan dengan sukan dan stadium. Ia juga berkuasa untuk menghubungi pelabur atau pelabur berpotensi, sama ada tempatan atau asing secara langsung atau tidak langsung, bagi menggalakkan pelaburan dalam pembangunan, pengendalian dan pengurusan stadium.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, membentangkan rang undang-undang 39 fasal dan tujuh bahagian itu untuk bacaan kali pertama.

Ia menggantikan Akta Perbadanan Stadium Merdeka 1963 dan membubarkan Perbadanan Stadium Merdeka yang ditubuhkan di bawah akta itu.

Segala kuasa, hak, keistimewaan, liabiliti, obligasi dan kewajipan yang dipunyai Perbadanan Stadium Merdeka hendaklah dipindahkan kepada Perbadanan Stadium Malaysia.
Perbadanan Stadium Malaysia dianggotai oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi yang dilantik oleh Menteri, Ketua Pegawai Eksekutif, lima wakil kerajaan, lima mewakil organisasi sukan yang dilantik Menteri serta lima yang mempunyai pengalaman dalam pembangunan dan pengurusan stadium, kompleks sukan dan kemudahan sukan yang dilantik Menteri.

Perbadanan juga boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa yang difikirkan perlu atau bermanfaat untuk membantunya dalam melaksanakan fungsinya serta boleh melantik mana-mana orang untuk menjadi anggota sesuatu jawatankuasa itu. -

No comments:

Post a Comment