Wednesday, July 21, 2010

Tabung hasil sawit bantu SAR

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2010/07/22
Perak lulus 2,000 hektar tanah untuk Perbadanan Ekonomi Islam

IPOH: Kerajaan Perak meluluskan kira-kira 2,000 hektar tanah untuk diusahakan dengan tanaman kelapa sawit dan hasilnya digunakan untuk mengisi tabung penyelenggaraan sekolah agama rakyat (SAR), maahad tahfiz dan pusat pengajian Islam di negeri itu. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pembangunan tanah berhampiran FELDA Besaut, Sungkai, itu akan diuruskan Perbadanan Ekonomi Islam Perak, manakala tabung SAR akan dikendalikan sendiri oleh kerajaan negeri atau Yayasan Perak. Katanya, tabung khas menerusi hasil kelapa sawit itu bertujuan menyediakan sumber kewangan secara mapan untuk hampir 700 SAR, maahad tahfiz dan pusat pengajian Islam, selain peruntukan tahunan bagi pengurusan institusi berkenaan daripada Kerajaan Perak.

"Ini usaha kita menaik taraf dan membaiki kedudukan SAR di Perak yang sebahagiannya dalam keadaan tidak memuaskan dan masalah lain, selain keadaan bangunan.

"Kita mengambil pendekatan dengan menubuhkan tabung khas untuk memperkasa SAR dan tabung khas ini diuruskan oleh kerajaan negeri atau Yayasan Perak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, semalam.

Zambry berkata, Persatuan SAR Perak juga menyatakan minat mereka untuk menguruskan pembangunan ladang kelapa sawit berkenaan dan kerajaan negeri akan membabitkan mereka dalam setiap perancangan berkaitan SAR, maahad tahfiz dan pusat pengajian Islam.
“Wakil Persatuan SAR berjumpa saya minggu lalu untuk berbincang kerana mereka mahu menguruskan secara bersama ladang ini.

"Kita berharap dana daripada projek tanaman kelapa sawit ini akan memberi pulangan yang baik untuk SAR," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan negeri juga meluluskan tanah kira-kira 1,000 hektar untuk sembilan sekolah persendirian Cina atau dikenali sekolah wang awam (SUWA), juga berhampiran FELDA Besaut.

No comments:

Post a Comment