Wednesday, July 21, 2010

Selangor cadang tubuh suruhanjaya

SHAH ALAM 21 Julai 2010 – Kerajaan negeri bercadang menubuhkan suruhanjaya bagi mengkaji semula keperluan sebenar air bersih bagi Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pendekatan itu diambil kerana cadangan melaksanakan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor adalah berdasarkan kajian air kebangsaan pada tahun 2000 yang dilakukan oleh Unit Perancangan Ekonomi pada tahun 2000.

Namun jelasnya, kerajaan negeri mendapati unjuran yang digunakan pada masa itu adalah keperluan air yang begitu banyak berbanding penggunaan per kapita di Singapura dan Sydney.

‘‘Bagi kita Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., (Syabas) tidak layak membuat kajian tersebut sebab itu kerajaan negeri akan menubuhkan suruhanjaya bagi membuat kajian semula keperluan air di Lembah Klang.

‘‘Kita akan melakukan tender terbuka untuk melaksanakan kerja-kerja kajian semula penggunaan air itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, perkara lebih penting adalah mempercepatkan penyelesaian untuk menstruktur semula pengambilan industri air di Selangor yang kini masih dalam perbincangan.

Ujarnya, usaha itu perlu mengikut peruntukan Akta Industri Air yang telah diluluskan di Parlimen yang menetapkan penstrukturan semula itu harus dilakukan dan ia dikendali serta dimiliki oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap Syabas dapat mencari jalan untuk mengatasi masalah yang berlaku apabila daripada kira-kira 380 liter air yang dirawat hanya 250 liter diterima oleh pengguna.

‘‘Ini menunjukkan 136 liter hilang kerana bocor dan sebagainya. Keadaan itu turut menggambarkan kita kekurangan 35 peratus bagi setiap 380 liter,” tambah beliau.

Abdul Khalid berkata, kalau kehilangan itu dikurangkan kepada 15 peratus mungkin masalah bekalan air tidak cukup di Selangor tidak timbul sama sekali.

No comments:

Post a Comment