Thursday, November 11, 2010

Garis Panduan Integriti ahli akademik IPT hampir siap

2010/11/12
PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini di peringkat akhir untuk menyiapkan draf Garis Panduan Integriti bagi meningkatkan tahap profesionalisme dan kewibawaan ahli akademik di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian akan mengadakan satu dialog khas dengan ahli akademik bagi memuktamadkan garis panduan yang bakal diguna pakai di semua IPT berkenaan. Beliau berkata, garis panduan itu juga bakal menjadi dokumen dan penanda aras bagi mengukur kejayaan ahli akademik serta merangsang transformasi IPT di negara ini, pada masa depan. “Hal ini penting kerana pegangan integriti akademik bukan saja dapat mewujudkan persekitaran berbudaya cemerlang, sebaliknya mampu menghasilkan kepercayaan yang kukuh di kalangan pihak berkepentingan terhadap peranan sektor pengajian tinggi negara secara keseluruhannya.

“Ini termasuk perkara berkaitan dengan kualiti pengajian tinggi, nilai untuk wang atau cara kita berbelanja, kebolehpasaran graduan dan sebagainya.

“Kegagalan sektor pengajian tinggi khususnya IPT untuk melunaskan integriti mereka dalam menjayakan peranan mereka, akan menjejaskan kepercayaan pihak berkepentingan terhadap kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Integriti peringkat kementeriannya di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, budaya dan amalan integriti juga menjadi salah satu elemen penting dalam memartabatkan sektor pengajian tinggi dan mentransformasikan negara ke arah negara maju menjelang 2010.
Beliau berkata, budaya integriti wajar dijadikan amalan kerana dapat meningkatkan kepantasan, kecekapan dan tahap profesionalisme di semua organisasi IPT awam dan swasta di seluruh negara.

"Kita berharap langkah memperluaskan garis panduan pemakaian integriti akademi ini dapat memastikan hanya mereka yang benar-benar mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) atau gelaran 'Dr' atau profesor menggunakan gelaran itu.

"Kita percaya integriti sangat penting di kalangan tenaga pengajar bagi menjayakan matlamat penubuhan sesebuah universiti atau IPT," katanya.

No comments:

Post a Comment